Banjir di Selangor semakin pulih, jumlah mangsa menurun kepada 1,764 orang

20 Nov 2026, 10:20 AM
Banjir di Selangor semakin pulih, jumlah mangsa menurun kepada 1,764 orang

KUALA LUMPUR, 20 NOV: Situasi banjir di Selangor, Perak dan Negeri Sembilan semakin pulih petang ini apabila jumlah mangsa yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di ketiga-tiga negeri itu mencatatkan penurunan manakala PPS di Pahang ditutup sepenuhnya.

Di Selangor, jumlah mangsa banjir menurun kepada 1,764 orang daripada 482 keluarga yang berlindung di 12 PPS petang ini, berbanding 1,897 mangsa daripada 518 keluarga pagi tadi.

Menurut portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Maharaja Lela menempatkan jumlah mangsa tertinggi, iaitu 394 orang, diikuti SK Parit Mahang (365), Sekolah Rendah Agama (SRA) Bukit Kuching (236), Dewan Orang Ramai Bukit Kuching Tengah (139), SK Rantau Panjang (134) dan SRA Batu 8 Ijok (120).

Selain itu, PPS SK Sungai Binjai menempatkan 113 mangsa, diikuti SK Jaya Setia (90), Kafa Integrasi Hidayah Bukit Cherakah (66), Dewan Orang Ramai Seri Harmoni (62), SK Batu Arang (25) dan Balai Raya Kampung Sungai Kelambu (20).

Di Perak, situasi banjir semakin baik apabila jumlah mangsa di lima daerah berkurangan kepada 500 orang daripada 172 keluarga setakat 4 petang ini, berbanding 635 orang daripada 223 keluarga pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan PPS SK Matang di daerah Larut, Matang dan Selama ditutup sepenuhnya petang ini selepas kesemua 129 mangsa daripada 47 keluarga dibenarkan pulang ke rumah masing-masing manakala 24 mangsa daripada 11 keluarga masih berlindung di PPS SK Batu Hampar.

Di daerah Manjung, jumlah mangsa banjir kekal 131 orang daripada 39 keluarga yang ditempatkan di PPS Sekolah Rendah Agama Rakyat Padang Serai manakala Perak Tengah merekodkan 90 mangsa daripada 41 keluarga di dua PPS iaitu SK Dato’ Sagor dan SK Tanjung Belanja.

Di Hilir Perak pula, 97 mangsa daripada 31 keluarga masih berlindung di PPS Dewan Rumah Rehat Majlis Perbandaran Teluk Intan manakala Kerian merekodkan 158 mangsa daripada 50 keluarga, termasuk 12 mangsa tanah runtuh daripada tiga keluarga yang ditempatkan di PPS SK Bukit Merah dan SK Parit Haji Aman.

Sementara itu, di Negeri Sembilan, hanya satu PPS masih dibuka di daerah Port Dickson, iaitu SK Jimah yang menempatkan 50 mangsa daripada 14 keluarga setakat 3.04 petang ini.

Berdasarkan data InfoBencana JKM, mangsa terdiri daripada 18 lelaki, 11 wanita dan 21 kanak-kanak termasuk bayi.

Di Pahang, PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Karak Setia yang beroperasi sejak semalam bagi menempatkan mangsa banjir di daerah Bentong ditutup pada 2.15 petang ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Bentong memaklumkan PPS berkenaan ditutup selepas keadaan banjir di kawasan terbabit pulih dan semua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.