SHAH ALAM, 19 NOV: Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memperuntukkan kira-kira RM15,000 bagi menyalurkan bantuan keperluan asas kepada lebih 200 mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid An-Naim, Jalan Kebun di sini, hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan MBI, Ahmad Azri Zainal Nor berkata bantuan yang diagihkan merangkumi toto, tilam, bantal, makanan kering, air mineral dan cerek elektrik selain dua kerusi roda untuk kegunaan mangsa yang memerlukan.
Menurutnya, mangsa banjir yang ditempatkan di PPS bertambah disebabkan hujan berterusan dan menyebabkan beberapa kawasan yang sebelum ini telah surut, kembali dinaiki air.

Beliau berkata pihaknya turut akan menyediakan peralatan pancutan air (water jet) bagi membantu kerja pembersihan kediaman penduduk yang terjejas akibat banjir lumpur.
"Peralatan itu akan diuruskan oleh pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi membantu membersihkan rumah penduduk yang memerlukan.
"Setakat minggu lalu, Yayasan MBI telah membelanjakan kira-kira RM150,000 untuk bantuan banjir dan jumlah itu dijangka meningkat susulan keadaan cuaca serta pertambahan pusat pemindahan yang dibuka," katanya kepada Media Selangor.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program penyerahan bantuan banjir di PPS Masjid An-Naim, Jalan Kebun.
Dalam pada itu, Ahmad Azri menasihatkan semua mangsa banjir supaya sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa dan hanya pulang ke rumah apabila keadaan benar-benar selamat.
Beliau turut mengingatkan mangsa banjir supaya mendaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memastikan mereka tidak tercicir daripada menerima bantuan RM2,500 daripada Kerajaan Persekutuan dan RM500 daripada Kerajaan Negeri.
Katanya, pasukan NGO serta pasukan Sukarelawan Selangor (SERVE) Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor turut digerakkan bagi membantu kerja pembersihan pascabanjir.

Sementara itu, Timbalan Nazir Masjid An-Naim, Shukri Zakaria berkata seramai 230 mangsa daripada 48 keluarga ditempatkan di PPS berkenaan sejak dua malam lalu.
Menurutnya, jumlah mangsa dijangka meningkat berikutan hujan yang masih berterusan, selain terdapat penduduk yang masih bertahan di kediaman masing-masing.
Katanya, sebahagian penduduk memilih untuk tidak berpindah kerana kedudukan rumah yang lebih tinggi selain bimbang keselamatan harta benda susulan kejadian sebuah rumah dipecah masuk oleh individu tidak bertanggungjawab.
Beliau menasihatkan mangsa supaya mengutamakan keselamatan diri dan tidak terlalu memikirkan kerosakan perabot atau barangan di rumah kerana bantuan pembersihan akan digerakkan selepas keadaan kembali selamat.









