SHAH ALAM, 10 JUN: Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) menyalurkan sumbangan wakaf fisabilillah berjumlah RM50,000 bagi menaik taraf surau Sekolah Rendah Agama (SRA) Jenjarom, Kuala Langat.
PWS memaklumkan inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan agensi berkenaan dalam memperkasa pembangunan institusi pendidikan Islam menerusi instrumen wakaf.
"Penyerahan sumbangan bagi tujuan kerja-kerja pendawaian elektrik baharu serta pemasangan jubin surau SRA Jenjarom demi menyediakan kemudahan ibadah yang lebih selesa dan kondusif kepada warga sekolah.
"Cek cura telah diserahkan kepada wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SRA Jenjarom dan disaksikan bersama oleh Guru Penolong Kanan 1, Puan Hamsinah binti Kasiran @ Salehan," katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Pada program sama, PWS turut menganjurkan sesi taklimat bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai peranan wakaf dalam pembangunan ummah.
"Turut berlangsung adalah sesi taklimat dan penerangan Wakaf Tunai yang telah disampaikan oleh Ibnu Hubain Abdul Aziz, yang menjelaskan peranan wakaf sebagai instrumen pembangunan ummah serta peluang penyertaan masyarakat dalam menjayakan agenda wakaf secara berterusan," katanya.
Menurut PWS, program berkenaan diharap dapat memperluas kefahaman masyarakat terhadap konsep wakaf serta menggalakkan lebih banyak penyertaan dalam menyokong pembangunan pendidikan, kebajikan dan keagamaan.
"PWS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak pengurusan sekolah, PIBG serta seluruh warga SRA Jenjarom atas kerjasama yang diberikan dalam menjayakan program itu," katanya.







