SHAH ALAM, 13 JUN: Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) menyalurkan sumbangan wakaf fisabilillah berjumlah RM45,000 kepada Sekolah Rendah Agama (SRA) Sungai Udang, Klang bagi meningkatkan kemudahan ibadah di sekolah berkenaan.
PWS dalam kenyataan memaklumkan sumbangan itu digunakan untuk perolehan dan pemasangan karpet serta penyaman udara di surau sekolah bagi mewujudkan persekitaran yang lebih selesa dan kondusif kepada guru serta warga sekolah.
“Inisiatif berkenaan selaras dengan komitmen berterusan PWS dalam memperkasa pembangunan institusi pendidikan Islam menerusi manfaat wakaf sekali gus menyediakan kemudahan dan infrastruktur yang lebih baik demi keselesaan warga sekolah.
“Melalui sumbangan ini, kemudahan ibadah di surau sekolah dapat dipertingkat sekali gus memberi keselesaan kepada warga sekolah dalam melaksanakan aktiviti keagamaan,” menurut kenyataan itu.
Majlis penyerahan sumbangan itu turut diisi dengan taklimat Wakaf Tunai yang disampaikan Pengurus Bahagian Korporat PWS, Muhammad Hafiz Bahari bagi memberi pendedahan mengenai kepentingan wakaf sebagai instrumen pembangunan ummah.
Taklimat berkenaan memberi pendedahan mengenai kepentingan wakaf sebagai amalan berterusan selain menggalakkan warga pendidik untuk membudayakan ibadah wakaf dalam kehidupan seharian.
PWS berkata pihaknya akan terus memperluaskan kefahaman masyarakat terhadap peranan wakaf dalam menyokong pembangunan pendidikan, kebajikan dan keagamaan demi manfaat ummah secara berterusan.









