SHAH ALAM, 30 JULAI: Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) menyalurkan sumbangan Wakaf Fisabilillah berjumlah RM141,000 kepada empat institusi agama di negeri ini bagi menyokong pembangunan kemudahan pendidikan serta ibadah.
Sumbangan itu membabitkan tiga sekolah rendah agama (SRA) dan sebuah masjid dengan peruntukan digunakan bagi kerja naik taraf, baik pulih serta penyediaan kemudahan untuk manfaat warga sekolah dan masyarakat.
PWS menerusi Facebook memaklumkan RM45,000 disalurkan kepada SRA Dato’ Ahmad Razali, Dengkil bagi menaik taraf musolla sekolah.
"Selain itu SRA Dengkil menerima RM48,000 untuk kerja baik pulih dan naik taraf bangunan sekolah bagi menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih selesa.
"SRA Paya Jaras, Sungai Buloh menerima RM30,000 bagi pembelian kerusi plastik serta karpet surau untuk meningkatkan keselesaan warga sekolah ketika menjalankan aktiviti pembelajaran dan ibadah," menurut kenyataan itu lagi.
Dalam perkembangan sama, Masjid Al-Hidayah, Telok Panglima Garang menerima RM18,000 bagi menaik taraf van jenazah sekali gus memperkukuh kemudahan pengurusan jenazah untuk kegunaan penduduk setempat.
Selain penyerahan sumbangan, PWS turut mengadakan taklimat wakaf di institusi pendidikan yang menerima bantuan bagi meningkatkan kefahaman guru dan warga sekolah mengenai konsep, kepentingan serta peluang berwakaf.
Program itu turut diserikan dengan Kuliah Maghrib khas yang menjadi platform memperkenalkan peranan wakaf dalam memberi manfaat kepada ummah di samping memperkukuh usaha mengarusperdanakan amalan wakaf dalam kalangan masyarakat.










