KAJANG, 27 NOV: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) merobohkan enam garaj dan enam struktur papak (slab) yang dibina tanpa kebenaran di atas sebahagian rizab jalan di Kajang Raya pada 24 November lalu.
MPKj memaklumkan operasi perobohan bersepadu itu dilaksanakan di Jalan Kajang Raya 3, Jalan Kajang Raya 9 dan Lorong Kajang Raya 2 bermula jam 9.30 pagi hingga 12.30 tengah hari.
Dalam operasi berkenaan, pihak berkuasa tempatan itu turut berdepan halangan apabila tiga kereta masih berada di bawah garaj yang telah diberi notis.

“Pihak jabatan terpaksa menunda kereta-kereta berkenaan agar kerja-kerja perobohan dapat diteruskan dan diselesaikan dengan segera,” katanya dalam kenyataan.
MPKj memaklumkan kawalan lalu lintas dan keselamatan sepanjang operasi dikendalikan sepenuhnya oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama pasukan penguat kuasa MPKj.
“Sisa bahan binaan yang telah dirobohkan telah dibersihkan oleh pihak KEJ dan kontraktor panel yang dilantik,” katanya.







