SHAH ALAM, 27 NOV: Enam daerah di Selangor dijangka dilanda ribut petir, hujan lebat dan angin kencang sehingga jam 4 petang ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi amaran terbaharu memaklumkan kawasan terlibat ialah Hulu Selangor, Gombak, Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang.
Amaran sama turut melibatkan seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya serta beberapa kawasan di Kedah, Perak, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Sabah.
Di Kedah, kawasan terlibat ialah Baling, Sik, Bandar Baharu, Kulim dan Padang Terap, manakala di Perak meliputi Muallim, Batang Padang, Kampar, Kerian, Selama, Larut Matang, Kuala Kangsar dan Kinta.
Di Pahang, amaran membabitkan Jerantut, Kuantan, Maran, Temerloh dan Bentong, sementara di Negeri Sembilan melibatkan Seremban, Rembau, Tampin, Kuala Pilah, Jelebu dan Jempol.
Amaran turut dikeluarkan bagi Alor Gajah dan Jasin di Melaka serta Kluang, Kulai, Johor Bahru, Kota Tinggi dan Mersing di Johor.
Di Sabah, kawasan terlibat ialah Penampang, Putatan, Kota Kinabalu, Papar dan Tuaran di Pantai Barat.
Menurut MetMalaysia, amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda hujan dengan intensiti melebihi 20 milimeter sejam yang hampir berlaku atau dijangka berterusan lebih sejam.
Amaran berkenaan bersifat jangka pendek dengan tempoh sah tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran.





