KUALA LUMPUR, 26 NOV: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di 10 negeri serta Kuala Lumpur hingga 8 malam ini.
MetMalaysia dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 4.30 petang memaklumkan amaran itu melibatkan seluruh Pulau Pinang dan Kuala Lumpur serta tujuh daerah di Kedah iaitu Kuala Muda, Sik, Pendang, Yan, Baling, Kulim dan Bandar Baharu.
Di Perak, amaran melibatkan Kerian, Selama, Larut Matang, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim, manakala di Selangor membabitkan Hulu Langat, Hulu Selangor dan Gombak.
Kawasan lain yang terlibat ialah Gua Musang di Kelantan, Lipis dan Cameron Highlands (Pahang), Jelebu, Kuala Pilah, Seremban dan Rembau (Negeri Sembilan) serta Alor Gajah di Melaka.
Di Sarawak, amaran meliputi Selangau di Sibu, Tatau (Bintulu), Mukah, Pusa dan Betong di Betong, Pantu dan Lingga (Sri Aman), Kuching, Samarahan, Siburan (Serian) serta Lawas di Limbang.
Di Sabah, kawasan terlibat ialah Sipitang di Pedalaman, Kinabatangan dan Paitan (Sandakan) serta Ranau, Kota Belud dan Tuaran di Pantai Barat.






