SHAH ALAM, 27 NOV: Lima daerah di Selangor dijangka dilanda ribut petir, hujan lebat dan angin kencang sehingga jam 9 pagi ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi amaran terbaharu memaklumkan kawasan terlibat ialah Kuala Selangor, Klang, Kuala Langat, Sepang dan Petaling.
Amaran sama turut melibatkan seluruh Wilayah Persekutuan Putrajaya serta beberapa kawasan di Negeri Sembilan dan Melaka.
Di Negeri Sembilan, kawasan terlibat ialah Port Dickson, Seremban dan Rembau, manakala di Melaka membabitkan Alor Gajah dan Melaka Tengah.
Menurut MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir berlaku atau dijangka berterusan lebih sejam.
Amaran ribut petir bersifat jangka pendek dengan tempoh sah tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran.






