SHAH ALAM, 25 NOV: Dua daerah di Selangor dijangka dilanda ribut petir, hujan lebat dan angin kencang sehingga jam 8 malam ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi amaran terbaharu memaklumkan kawasan terlibat ialah Hulu Selangor dan Sabak Bernam.
Amaran sama turut melibatkan beberapa kawasan di Kedah, Pahang, Negeri Sembilan, Johor, Sarawak dan Sabah, selain seluruh Pulau Pinang, Perak serta Wilayah Persekutuan Labuan.
Di Kedah, kawasan terlibat ialah Bandar Baharu, Kulim dan Kuala Muda, manakala di Pahang meliputi Pekan, Rompin, Bera, Raub, Cameron Highlands dan Lipis.
Turut menerima amaran ialah Jempol di Negeri Sembilan serta Kluang, Segamat dan Mersing di Johor.
Di Sarawak, kawasan terlibat termasuk Limbang, Sri Aman, Serian, Samarahan, Kuching serta beberapa kawasan di Kapit, Miri, Sibu, Sarikei dan Betong.
Sementara itu, amaran di Sabah membabitkan beberapa kawasan di Pedalaman, Pantai Barat, Kudat, Tawau dan Sandakan.
Menurut MetMalaysia, amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda hujan dengan intensiti melebihi 20 milimeter sejam yang hampir berlaku atau dijangka berterusan melebihi sejam.
Amaran berkenaan bersifat jangka pendek dengan tempoh sah tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran.






