SHAH ALAM, 27 NOV: Seramai 986 mangsa banjir daripada 305 keluarga masih ditempatkan di enam pusat pemindahan sementara (PPS) membabitkan tiga daerah di Selangor setakat jam 6.04 pagi ini.
Berdasarkan data portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kuala Langat merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 808 orang daripada 248 keluarga di tiga PPS.
Daripada jumlah itu, seramai 775 mangsa daripada 240 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) RTB Bukit Changgang, menjadikannya pusat pemindahan dengan jumlah mangsa paling ramai di negeri ini.
Dua lagi PPS di Kuala Langat ialah Dewan Orang Ramai Kampung Labohan Dagang yang menempatkan 17 mangsa daripada empat keluarga dan Balai Raya Kampung Sungai Kelambu dengan 16 mangsa daripada empat keluarga.
Sementara itu, Kuala Selangor merekodkan 149 mangsa daripada 49 keluarga di dua PPS.
Seramai 108 mangsa daripada 37 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Rendah Agama (SRA) Pasangan, manakala 41 mangsa daripada 12 keluarga berada di Sekolah Agama Batu 8 Ijok.
Di Sepang, seramai 29 mangsa daripada lapan keluarga masih berlindung di Dewan Orang Ramai Kampung Dato Ahmad Razali.
Menurut data JKM, daripada keseluruhan mangsa banjir, seramai 638 orang merupakan golongan dewasa, 315 kanak-kanak dan 33 bayi.
Jumlah itu turut merangkumi 74 warga emas dan 33 orang kurang upaya (OKU).
Setakat pagi ini, enam PPS masih beroperasi di Kuala Langat, Kuala Selangor dan Sepang.







