Pantau risiko penyakit berjangkit, kesihatan mental mangsa banjir – EXCO

26 Nov 2026, 12:05 PM
Pantau risiko penyakit berjangkit, kesihatan mental mangsa banjir – EXCO
Pantau risiko penyakit berjangkit, kesihatan mental mangsa banjir – EXCO
Pantau risiko penyakit berjangkit, kesihatan mental mangsa banjir – EXCO
Pantau risiko penyakit berjangkit, kesihatan mental mangsa banjir – EXCO

SHAH ALAM, 26 NOV: Kerajaan Negeri memantau semua pusat pemindahan sementara (PPS) bagi mengelakkan penularan penyakit berjangkit dalam kalangan mangsa banjir.

EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin berkata antara penyakit yang berisiko berlaku ketika bencana banjir ialah kencing tikus, demam denggi, cirit-birit, keracunan makanan dan penyakit kulit.

Katanya, pengesanan awal gejala penyakit dalam kalangan mangsa yang ditempatkan di PPS penting bagi membolehkan tindakan segera diambil sekali gus mengelakkan penularan.

"Perhatian khusus juga perlu diberikan kepada golongan berisiko termasuk bayi, kanak-kanak, warga emas, wanita hamil, orang kurang upaya (OKU) serta pesakit kronik yang memerlukan rawatan dan bekalan ubat secara berterusan.

"Paling penting, bekalan ubat-ubatan perlu mencukupi di semua PPS bagi memastikan pesakit kronik tidak terputus rawatan sepanjang tempoh pemindahan," katanya kepada Media Selangor.

Jamaliah menambah, aspek kesihatan mental mangsa banjir juga tidak boleh dipandang ringan, terutama mereka yang kehilangan tempat tinggal dan harta benda sehingga berdepan tekanan emosi akibat bencana itu.

“Justeru Kerajaan Negeri menggiatkan kerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Pejabat Kesihatan Daerah dan agensi berkaitan bagi mengawal permasalahan sepanjang musim banjir kali ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau mengingatkan mangsa banjir supaya menggunakan peralatan sesuai untuk membersihkan kediaman termasuk menggunakan but getah dan sarung tangan.

"Pastikan sebarang luka ditutup dengan sempurna dan jangan terburu-buru melakukan kerja pembersihan tanpa mengambil langkah keselamatan.

"Penduduk juga perlu membuang makanan dan minuman yang tercemar dengan air banjir bagi mengelakkan risiko keracunan makanan serta penyakit bawaan air," katanya lagi.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mengabaikan gejala seperti demam, sakit otot, cirit-birit atau muntah selepas banjir, sebaliknya segera mendapatkan pemeriksaan di klinik atau hospital berhampiran.

Katanya, usaha menjaga kesihatan dan kesejahteraan mangsa perlu dilaksanakan secara menyeluruh bagi memastikan mereka bukan sahaja selamat menghadapi banjir, tetapi turut terlindung daripada ancaman penyakit selepas bencana berakhir.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.