SHAH ALAM, 26 NOV: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menawarkan bayaran RM4 bagi setiap ekor tikus yang memenuhi syarat menerusi Kempen Membasmi Tikus (Rat to Cash) pada Sabtu ini (28 November).
Kempen anjuran Jabatan Perkhidmatan Bandar dan Kesihatan MPAJ itu berlangsung di Kompleks Muhibbah, Taman Nirwana mulai jam 8 pagi hingga 12 tengah hari.
MPAJ memaklumkan inisiatif berkenaan bertujuan mengurangkan populasi tikus serta meningkatkan tahap kebersihan dan kesihatan persekitaran komuniti.
Orang ramai boleh menyerahkan tikus hidup atau mati dengan syarat tempoh kematian tidak melebihi 24 jam.

Serahan hendaklah dibuat di kaunter bayaran yang disediakan dengan bayaran RM4 diberikan bagi setiap ekor tikus yang layak.
“MPAJ mengalu-alukan penyertaan peniaga @ penduduk setempat bagi bersama-sama menjayakan usaha membasmi tikus, sekali gus mewujudkan persekitaran yang lebih bersih, sihat dan selamat untuk komuniti,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Jabatan Perkhidmatan Bandar dan Kesihatan MPAJ di talian 03-4285 7007.







