SHAH ALAM, 23 NOV: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) memperuntukkan kira-kira RM100 juta bagi melaksanakan lebih 80 projek menerusi inisiatif Pembangunan Semula Bandar Ampang Jaya yang dirangka untuk tempoh lima tahun.
Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Hasrolnizam Shaari berkata inisiatif itu memberi tumpuan kepada tiga teras utama iaitu Bandar Pintar (Smart City), Reformasi Kemudahan Awam (RKA) dan Revolusi Ekonomi Mikro (REM) bagi memodenkan kawasan Ampang Jaya, lapor The Star.
Beliau berkata, inisiatif tersebut bertujuan menangani perubahan keperluan penduduk Ampang Jaya selain menumpukan usaha menaik taraf infrastruktur serta kemudahan sedia ada agar terus relevan dengan keperluan semasa.
“Peluang untuk membina kemudahan baharu agak terhad. Oleh itu, kita perlu membangunkan semula apa yang sudah ada dengan menaik taraf kemudahan sedia ada dan menyesuaikannya dengan keperluan moden.
“Menerusi tiga teras ini, kita bukan sahaja mahu menambah baik persekitaran fizikal, malah meningkatkan kualiti kehidupan penduduk Ampang,” katanya.
Mengulas lanjut, Hasrolnizam berkata, menerusi teras Bandar Pintar, MPAJ akan memperluas penggunaan teknologi digital dalam operasi perbandaran, khususnya bagi pemantauan cerun dan pengurusan trafik.
Katanya, MPAJ turut mengenal pasti kira-kira 16 lokasi cerun berisiko tinggi untuk pemasangan sistem amaran awal (EWS) bagi memperkukuh usaha pencegahan kejadian tanah runtuh.
“Daripada jumlah itu, empat sistem sudah dipasang, manakala empat lagi sedang dalam pelaksanaan dan selebihnya dijangka disiapkan dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, Hasrolnizam berkata MPAJ turut mengintegrasikan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam pengurusan trafik menerusi pemasangan kamera di sembilan persimpangan bagi membolehkan pemantauan serta analisis aliran trafik secara masa nyata.
Jelasnya, sistem berkenaan kelak akan diintegrasikan dengan pusat kawalan baharu bernilai RM6 juta yang akan dibangunkan di Menara MPAJ.







