MPAJ rancang susun semula 5,000 peniaga, sedia persekitaran lebih selesa

21 Nov 2026, 9:00 AM
MPAJ rancang susun semula 5,000 peniaga, sedia persekitaran lebih selesa

AMPANG JAYA, 21 NOV: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) merancang menyusun semula kira-kira 5,000 peniaga di kawasan pentadbirannya bagi memastikan aktiviti perniagaan lebih teratur, selain menyediakan persekitaran selesa kepada peniaga dan pengguna.

Timbalan Yang Dipertua MPAJ Ts. Hasrolnizam Shaari berkata jumlah itu merangkumi peniaga yang menjalankan perniagaan di premis berlesen serta menggunakan ruang tepi jalan untuk aktiviti jualan.

“Usaha ini sebahagian daripada langkah penambahbaikan kawasan Ampang Jaya, termasuk menyediakan lokasi perniagaan yang lebih sesuai dan tersusun bagi memastikan kelancaran aktiviti jual beli.

“Kita tidak menyediakan bantuan dari segi kewangan, sebaliknya memberi peluang dan potensi kepada peniaga menerusi penyediaan tempat yang lebih terkawal serta ruang perniagaan yang lebih terurus,” katanya ketika ditemui Media Selangor di Majlis Perasmian dan Pembukaan Taman Rekreasi Madani AU2, Ampang, hari ini.

Hasrolnizam berkata MPAJ akan memberi keutamaan kepada peniaga sedia ada dengan memperkemas premis perniagaan, selain mengenal pasti lokasi sesuai bagi mereka yang berniaga di luar premis.

Antara perancangan termasuk penyediaan tapak niaga lebih teratur serta kemudahan tempat letak kereta dan pencahayaan bagi memudahkan urusan peniaga serta keselesaan pengguna.

“MPAJ telah berhubung secara langsung dengan peniaga yang beroperasi di Ampang Jaya dan meminta kerjasama mereka untuk menyesuaikan diri dengan lokasi yang dikenal pasti sesuai bagi aktiviti perniagaan

“Usaha itu turut bertujuan mengelakkan pertindihan penggunaan ruang dengan aktiviti lain, selain memastikan kawasan perniagaan lebih tersusun dan mudah dikunjungi orang ramai,” katanya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.