Saliran Kwasa Damansara berasaskan alam, perlahan aliran air hujan

27 Nov 2026, 2:00 AM
Saliran Kwasa Damansara berasaskan alam, perlahan aliran air hujan
Saliran Kwasa Damansara berasaskan alam, perlahan aliran air hujan

NIBONG TEBAL, 27 NOV: Pembangunan bandar Kwasa Damansara di Sungai Buloh, Selangor mengguna pakai Sistem Saliran Bio-Ekologi (BIOECODS) yang bersifat mesra alam bagi mengurus air hujan secara bersepadu melalui infrastruktur saliran mesra alam, taman bandar dan koridor sungai.

Pendekatan itu menyepadu elemen semula jadi dalam sistem saliran bandar bagi mengawal aliran air hujan, seterusnya mengurangkan risiko limpahan sekali gus menyediakan persekitaran hijau.

Pengarah Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai dan Saliran Bandar (REDAC) Universiti Sains Malaysia (USM) berkata USM berperanan sebagai subperunding bagi mereka bentuk sistem saliran dan menambah baik sungai untuk pembangunan bermula pada 2013 itu.

Ir Dr Chang Chun Kiat memberitahu perancangan sistem saliran utama diadakan terlebih dahulu sebelum ia dihubungkan dengan sistem saliran di setiap lot projek pembangunan itu.

“Kwasa Land Sdn Bhd menggunakan sistem ini untuk pembangunan bandar Kwasa Damansara. Itu boleh dikatakan projek BIOECODS terbesar setakat ini, meliputi kawasan seluas 2,330 ekar.

“Pembangunan itu masih berjalan pada pelbagai peringkat, ada sudah siap, ada masih dalam pembinaan. BIOECODS sebenarnya tidak terhad kepada sistem saliran, malah boleh melibatkan pembangunan koridor sungai,” katanya.

Kolam dan longkang yang mengikut Sistem Saliran Bio-Ekologi (BIOECODS) di Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin Universiti Sains Malaysia (USM) Nibong Tebal, Pulau Pinang. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Melalui BIOECODS, pengurusan air hujan bukan bergantung kepada longkang konkrit untuk membawa aliran ke sungai, sebaliknya menggunakan komponen berasaskan alam bagi memperlahan, menapis dan mengawal pergerakan air.

Sistem tersebut juga diterap dalam taman bandar di Kwasa Damansara bagi menggabungkan fungsi saliran dengan menyediakan kawasan hijau dan rekreasi, sekali gus membentuk koridor hijau.

Pembangunan berkenaan turut menggunakan sistem tahanan di tapak (OSD) atau tangki takungan bawah tanah di kawasan park-n-ride (parkir dan gerak) stesen Kwasa Sentral dan Kwasa Damansara.

Ia berfungsi untuk menakung air hujan sementara sebelum dilepaskan secara terkawal ke sistem saliran utama. Langkah itu mengurangkan kadar aliran air semasa hujan lebat.

“Kalau kita lihat di bahagian atas, semuanya tempat letak kereta. Di bawah sebenarnya ada OSD yang menjadi tangki simpanan sementara untuk merendahkan aliran dan menyimpan air,” katanya.

Menurut Dr Chun Kiat, air hujan turut melalui komponen BIOECODS untuk proses penapisan sebelum memasuki tangki takungan dan disalur ke sistem saliran utama.

Sistem itu didapati mengawal aliran air dengan baik, sekali gus menunjukkan infrastruktur saliran berasaskan alam semula jadi berupaya diterap dalam pembangunan bandar berskala besar.

Kolam dan longkang yang mengikut Sistem Saliran Bio-Ekologi (BIOECODS) di Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin Universiti Sains Malaysia (USM) Nibong Tebal, Pulau Pinang. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Pelaksanaan di Kwasa Damansara menunjukkan pengurusan air hujan boleh dirancang melalui reka bentuk bandar sejak peringkat awal, bukan sekadar kemudahan saliran selepas pembangunan siap.

“Pendekatan itu boleh dipertimbang pemaju dan perunding infrastruktur dalam perancangan induk pembangunan baharu bagi mengimbangi keperluan pembangunan fizikal dengan pengurusan air serta pemeliharaan persekitaran semula jadi,” katanya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.