SHAH ALAM, 9 SEPT: Dua lokasi di Petaling Jaya dipilih sebagai projek perintis bagi Kajian Garis Panduan Perancangan Pelaksanaan Bandar Lestari Air (Sponge City).
Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memaklumkan lokasi berkenaan melibatkan sebahagian kawasan Seksyen Petaling Jaya yang mewakili kawasan padat dan tepu bina, serta Kwasa Damansara sebagai kawasan pembangunan baharu.
"Kedua-dua lokasi ini dipilih dengan konteks pembangunan berbeza, yang dapat memberikan perspektif lebih menyeluruh dalam menghasilkan garis panduan yang praktikal untuk dilaksanakan oleh pihak berkuasa tempatan," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Usaha mengenal pasti kaedah pelaksanaan Bandar Lestari Air diteruskan menerusi Perbincangan Kumpulan Berfokus (FGD) Kajian Garis Panduan Perancangan Pelaksanaan Bandar Lestari Air (Sponge City).

Program anjuran bersama MBPJ, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) dan pasukan perunding itu menghimpunkan pelbagai agensi, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta golongan profesional bagi berkongsi kepakaran berkaitan pengurusan air bandar, sistem saliran, landskap, ruang hijau dan perancangan bandar.
Menurut MBPJ, pendekatan ‘Sponge City’ dilihat relevan dalam memperkukuh ketahanan Petaling Jaya sebagai sebuah bandar matang, khususnya dalam menghadapi cabaran perubahan iklim, hujan berintensiti tinggi dan kejadian banjir kilat.
"Diharapkan segala input dan pandangan yang diperoleh sepanjang FGD ini dapat diterjemah kepada garis panduan yang praktikal dan memberi manfaat kepada PBT dalam merancang serta mengawal pembangunan bandar pada masa hadapan," tambah MBPJ.







