SHAH ALAM, 21 NOV: Kehilangan kawasan hijau akibat pembangunan pesat di negeri ini dikhuatiri meningkatkan risiko banjir apabila keupayaan tanah menyerap dan menampung air hujan semakin berkurangan.
Pensyarah Kanan Sumber Air dan Sistem Alam Sekitar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dr Azinoor Azida Abu Bakar berkata pembangunan baharu perlu dinilai berdasarkan kesannya terhadap sistem saliran dan kawasan sekeliling, lapor Berita Harian.
Menurutnya, penilaian itu penting termasuk bagi kawasan hutan yang sudah dinyahwartakan kerana perubahan guna tanah boleh meningkatkan aliran air ke kawasan hiliran.
"Kesan pembangunan perlu dinilai secara kumulatif, bukan hanya berdasarkan sesuatu projek secara berasingan kerana perubahan di kawasan huluan boleh meningkatkan aliran air ke kawasan hiliran seperti Shah Alam," katanya memetik laporan Berita Harian.
Beliau turut menyarankan kawasan tadahan air, zon penampan sungai dan kawasan hijau dikekalkan, selain memperbanyak kolam takungan serta penggunaan sistem saliran mesra alam.
Sementara itu, Pensyarah Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Prof Madya Dr Haryati Shafii berpandangan usaha menangani banjir tidak boleh bergantung kepada penyelenggaraan longkang dan sungai semata-mata.
Katanya, pembangunan di kawasan hutan perlu dikawal kerana gangguan terhadap ekosistem boleh memberi kesan kepada alam sekitar, penduduk dan habitat haiwan.
Dalam perkembangan berkaitan, Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) menggesa penangguhan sementara kelulusan pembangunan sedia ada serta projek baharu di kawasan hutan simpan dan berbukit di pinggir Selangor.
PEKA turut menuntut moratorium pembangunan di kawasan terjejas, audit semua kelulusan terdahulu dan siasatan bebas terhadap dakwaan aktiviti pembersihan hutan serta penyahwartaan tanah yang dikaitkan dengan kejadian banjir besar dan berulang di beberapa kawasan negeri itu.
Semalam ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2026 di Dewan Negeri Selangor, Dato’ Menteri Besar menegaskan semua projek pembangunan termasuk infrastruktur awam yang gagal mematuhi syarat penyediaan kolam takungan boleh dikenakan tindakan henti kerja, termasuk penarikan balik kelulusan kebenaran merancang.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata beliau sudah mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) menjalankan siasatan dan inventori terhadap semua projek pembangunan bagi memastikan syarat berkaitan mitigasi banjir dipatuhi.
Sebelum ini, Amirudin mengarahkan kerja pembangunan di Puncak Alam dihentikan serta-merta sementara pelan mitigasi banjir dan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dinilai semula susulan kejadian banjir yang melanda kawasan itu awal bulan ini.
Keputusan menerusi Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) itu dibuat bagi memastikan keselamatan rakyat terus diutamakan, khususnya di kawasan berisiko banjir.








