Tingkat pemantauan berkala sistem saliran, kemudahan awam elak banjir berulang

18 Nov 2026, 5:58 AM
Tingkat pemantauan berkala sistem saliran, kemudahan awam elak banjir berulang

SHAH ALAM, 18 NOV: Pemantauan berkala terhadap sistem saliran dan kemudahan awam perlu diperkukuh menerusi kerjasama semua agensi bagi memastikan infrastruktur berfungsi dengan baik serta mengurangkan risiko banjir.

Ahli Dewan Negeri Seri Serdang, Abbas Azmi berkata, kerjasama antara agensi termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran, Majlis Bandaraya Subang Jaya dan Jabatan Kerja Raya (JKR) sebelum ini membantu menangani masalah banjir kilat serta banjir termenung di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan usaha berkenaan perlu diteruskan meskipun projek telah siap bagi memastikan infrastruktur yang dibangunkan terus berfungsi seperti dirancang dan memberi manfaat kepada penduduk.

ADN Seri Serdang Abbas Azmi ketika Persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 11 Ogos 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM / MEDIA SELANGOR

“Projek yang sedang dijalankan jangan dibiarkan kontraktor tanpa pemantauan, manakala projek yang telah siap juga perlu dipantau secara berkala supaya hasilnya dapat dinikmati rakyat.

“Begitu juga dengan kontraktor pembersihan longkang dan parit. Penyelia perlu memastikan semua kemudahan itu sentiasa bersih dan boleh berfungsi dengan baik pada bila-bila masa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Belanjawan Selangor 2027 pada persidangan Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Abbas turut menggesa pihak berkuasa tempatan, KDEB Waste Management dan JKR mengambil langkah lebih proaktif dalam penyelenggaraan longkang serta parit bagi memastikan tiada sampah atau halangan yang boleh menjejaskan aliran air.

Katanya, peruntukan besar kerajaan bagi pembinaan sistem saliran akan menjadi sia-sia sekiranya infrastruktur berkenaan gagal berfungsi dengan baik akibat penyelenggaraan yang tidak sempurna.

“Jangan tunggu longkang tersumbat atau parit dipenuhi sisa buangan sehingga menyebabkan air melimpah masuk ke rumah penduduk, barulah tindakan diambil.

“Kita perlu meletakkan diri di tempat mereka yang terkesan akibat banjir. Sudah pasti mereka turut berasa marah dan kecewa apabila masalah sama terus berulang,” katanya.

Prasarana KAFA

Dalam perkembangan lain, Abbas turut meminta Kerajaan Negeri memberi perhatian terhadap keadaan infrastruktur institusi Kelas Agama Fardhu Ain (KAFA), khususnya aspek keselamatan bangunan dan kemudahan pembelajaran.

Menurutnya, meskipun premis KAFA bukan di bawah seliaan langsung Kerajaan Negeri, keadaan fizikal bangunan serta kelengkapan pembelajaran di institusi berkenaan tetap perlu diberi perhatian.

Suasana pembelajaran murid di dalam kelas Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA). Foto Arkib Media Selangor

“Saya faham premis bangunan KAFA ini bukan di bawah seliaan Kerajaan Negeri secara terus, tetapi Selangor yang dikenali sebagai negeri maju, bangunan institusi pendidikan harus diberi perhatian terutama soal keselamatan.

“Pemantauan perlu dijalankan dan jika memerlukan penambahbaikan atau penukaran keperluan mengajar dan belajar, boleh dipohon kepada agensi kerajaan yang berkaitan atau anak-anak syarikat kerajaan yang berkemampuan,” katanya.

Gesaan itu turut mengambil kira kejadian pada Disember 2024 apabila seorang murid tahun enam maut akibat renjatan elektrik selepas memegang tiang besi di KAFA Integrasi Manbaul Ulum, Taman Sri Serdang, ketika bermain bersama rakan-rakannya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.