Isu ruang antara kekekangan di bandar matang

26 Nov 2026, 6:00 AM
Isu ruang antara kekekangan di bandar matang
Isu ruang antara kekekangan di bandar matang
Isu ruang antara kekekangan di bandar matang

NIBONG TEBAL, 26 NOV: Kekangan ruang, kos pembinaan dan keperluan merombak infrastruktur sedia ada antara cabaran untuk melaksanakan Sistem Saliran Bio-Ekologi (BIOECODS) yang bersifat mesra alam.

Pengarah Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai dan Saliran Bandar (REDAC) Universiti Sains Malaysia (USM) berkata BIOECODS boleh diadakan di bandar lama tetapi ia memerlukan penelitian menyeluruh terhadap keadaan dan punca masalah saliran.

Menurut Ir Dr Chang Chun Kiat, cabaran paling ketara ialah keperluan kawasan lebih luas berbanding sistem longkang konkrit konvensional yang dibina secara sempit dan dalam.

Beliau menjelaskan BIOECODS memerlukan kawasan saliran lebih lebar tetapi cetek, sekali gus berdepan masalah penggunaan tanah di kawasan bandar yang kebanyakannya telah dibangunkan.

“Apabila kita lihat longkang konkrit, ia sempit dan dalam. Tetapi sistem kita memerlukan kawasan lebih lebar dan cetek.

“Jadi, dari perspektif pemaju, mereka mungkin melihat sistem ini mengambil ruang tiga hingga empat kali ganda berbanding kawasan yang diperuntuk untuk saliran konvensional,” katanya.

Dr Chun Kiat berkata pelaksanaan di bandar matang juga memerlukan sistem saliran lama dibuang sebelum diganti dengan reka bentuk baharu, sekali gus meningkatkan kos dan tempoh pembinaan.

Katanya, kerja penggantian itu boleh menjejaskan infrastruktur lain seperti sistem kumbahan dan perpaipan selain mungkin mengganggu perkhidmatan sedia ada sepanjang tempoh pembinaan.

Kolam dan longkang yang mengikut Sistem Saliran Bio-Ekologi (BIOECODS) di Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin Universiti Sains Malaysia (USM) Nibong Tebal, Pulau Pinang. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Menurutnya, cabaran itu bukan bermakna BIOECODS tidak boleh dibuat di bandar lama tetapi ia memerlukan kajian terperinci bagi mengenal pasti punca sebenar banjir dan kesesuaian lokasi.

“Penyelesaian banjir kilat di bandar matang perlukan perancangan bersepadu yang menggabungkan penambahbaikan saliran, sistem takungan, pam dan kawalan pembangunan berdasarkan kajian teknikal setiap kawasan.

“Banjir bukan hanya berpunca daripada hujan lebat, sebaliknya dipengaruhi keadaan sungai, paras air di hilir serta keupayaan sistem saliran mengalirkan air keluar ketika paras sungai atau air pasang tinggi.

“Justeru, langkah mitigasi perlu ambil kira keseluruhan sistem saliran dan lembangan sungai bagi mengelakkan penyelesaian di satu kawasan menyebabkan banjir di lokasi lain,” katanya.

Menurut Dr Chun Kiat, pendekatan kawalan di punca perlu diberi perhatian dengan memastikan kadar pelepasan air selepas pembangunan tidak melebihi keadaan sebelum pembangunan, manakala lebihan air disimpan sementara dalam kolam atau tangki takungan.

Kolam dan longkang yang mengikut Sistem Saliran Bio-Ekologi (BIOECODS) di Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin Universiti Sains Malaysia (USM) Nibong Tebal, Pulau Pinang. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Selain itu, katanya, usaha meningkatkan kawasan telap air di bandar penting kerana kebanyakan bandar didominasi permukaan konkrit yang menyebabkan air hujan mengalir ke sistem longkang.

“Banjir kilat bukan hanya berpunca daripada keupayaan longkang tetapi dipengaruhi pelbagai faktor termasuk taburan hujan dan keadaan sungai yang boleh menghalang air daripada mengalir keluar terutama apabila paras air di hilir meningkat.

“Pembangunan di kawasan rendah perlu dielak kerana kedudukan tapak boleh menyukarkan pelepasan air ke sungai, khususnya apabila paras air di hilir tinggi.

“Bagi kawasan yang telah dibangunkan, penetapan aras platform bangunan perlu ambil kira paras banjir dan topografi bagi mengurangkan risiko air memasuki kawasan pembangunan,” katanya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.