Warga emas maut digilis keretapi

25 Nov 2026, 1:54 PM
Warga emas maut digilis keretapi

KOTA KINABALU, 25 NOV: Seorang lelaki berusia 63 tahun maut selepas digilis kereta api yang dalam perjalanan dari Beaufort ke Tenom di Jalan Kereta Api, Tenom hari ini.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tenom pada 1.20 tengah hari.

“Enam anggota bersama sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) digegaskan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira lima kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom.

"Berdasarkan maklumat diterima, mangsa yang mempunyai masalah pendengaran dipercayai menggunakan sebuah troli kayu buatan sendiri untuk bergerak melalui landasan kereta api dari Kampung Pangi menuju ke Pekan Tenom selepas selesai menjalankan aktiviti berkebun,” menurut PGO menerusi kenyataan.

Menurut kenyataan itu, pasukan bomba berdepan kesukaran untuk ke lokasi berikutan akses jalan yang terhad dan tidak dapat dilalui jentera bomba, menyebabkan terpaksa menunggu bantuan pengangkutan daripada penduduk kampung dengan menggunakan troli bermotor buatan sendiri.

Sementara itu, Ketua Operasi PBK I Mohammad Herryzan berkata pihaknya tiba di lokasi pada 1.32 tengah hari dan mendapati mangsa tersepit di bawah gerabak kereta api, sebelum berjaya mengeluarkannya serta memindahkannya ke tempat selamat menggunakan pengusung.

Beliau berkata lelaki itu kemudian disahkan meninggal dunia akibat patah tulang kaki, badan serta kecederaan di bahagian kepala oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di lokasi.

"Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut manakala operasi yang turut melibatkan empat anggota polis dan dua petugas KKM itu tamat sepenuhnya pada 2.04 petang,” katanya.

-- BERNAMA

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.