
SHAH ALAM, 13 NOV: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM5 juta melalui Tabung Amanah Negeri Selangor bagi menyediakan taska di tempat kerja dan membangunkan Pusat Jagaan Warga Emas Kita Selangor.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kedua-dua inisiatif itu bertujuan memperluas akses kepada perkhidmatan penjagaan kanak-kanak dan warga emas pada harga lebih berpatutan.
“Kerajaan Negeri akan bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan dan menyediakan taska di tempat kerja agar ibu bapa tidak perlu berjalan jauh demi untuk mendapatkan khidmat penjagaan anak-anak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2027 di Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.
Amirudin berkata pengalaman mengendalikan Pusat Warga Emas akan dimanfaatkan dalam pembangunan Pusat Jagaan Warga Emas Kita Selangor atau Kita Selangor Senior Living Centre.
Jelasnya, inisiatif itu turut bertujuan meningkatkan kapasiti pusat jagaan warga emas sedia ada di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Kedua-dua usaha ini merupakan kemasukan babak baharu Selangor dalam ekonomi penjagaan, dan untuk maksud itu, RM5 juta akan diperuntukkan melalui Tabung Amanah Negeri Selangor,” katanya.
Belanjawan Selangor 2027 bertemakan ‘Selangor Negeri Progresif, Institusi Dijunjung, Rakyat Disantuni’ memperuntukkan RM3.3 bilion bagi tahun depan.







