SHAH ALAM, 21 NOV: Dua kanak-kanak ditemukan maut dalam kebakaran bangunan pejabat yang dijadikan rumah di Kampung Teloi Tua, Sik, Kedah hari ini.
Mayat mangsa iaitu kanak-kanak perempuan berusia 16 bulan dan kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun ditemukan rentung atas katil di dalam premis berkenaan selepas kebakaran memusnahkan hampir 90 peratus bangunan itu, lapor Berita Harian.
Pegawai Zon 2, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Bryan Del Bungkias, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.11 pagi.
Katanya, operasi memadam kebakaran diketuai Pegawai Bomba Kanan I Shahril Salleh bersama 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik.
"Pusat Gerakan Operasi Kedah menerima panggilan kecemasan yang memaklumkan terdapat kebakaran membabitkan sebuah bangunan pejabat dan terdapat mangsa.
"Komander Operasi melaporkan setibanya di tempat kejadian, didapati kebakaran membabitkan sebuah pejabat yang dijadikan rumah.
"Kebakaran memusnahkan hampir 90 peratus daripada keseluruhan struktur dan tindakan operasi pemadaman menggunakan dua aliran hos dengan dua pancutan menggunakan sumber air daripada tangki jentera dan pili bomba," katanya.
Bryan berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 6.50 pagi sebelum Komander Operasi melaporkan penemuan dua mangsa di atas katil.







