Hujan lebat hingga 96 milimeter, lapan kawasan Selangor dilanda banjir

25 Nov 2026, 9:00 AM
Hujan lebat hingga 96 milimeter, lapan kawasan Selangor dilanda banjir

SHAH ALAM, 25 NOV: Hujan lebat hingga sangat lebat dengan bacaan mencecah 96 milimeter (mm) menyebabkan banjir di lapan kawasan membabitkan tiga daerah di Selangor hari ini.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor memaklumkan enam kawasan terjejas di Sepang, manakala masing-masing satu kawasan di Kuala Langat dan Hulu Langat.

Menurutnya, hujan dengan bacaan antara 33 hingga 96 mm direkodkan di beberapa kawasan sehingga menyebabkan limpahan air sungai dan sistem saliran.

Di Sepang, kawasan terjejas ialah Batu 31 Dengkil yang merekodkan hujan 88.5 mm, Pulau Meranti (68 mm), Kampung Desa Putra (96 mm) dan Kampung Sungai Merab (95 mm).

Turut terlibat Kampung Sri Tanjung, Kampung Lalang, Kampung Ampar Tenang dan Kampung Semarang yang merekodkan bacaan 57 mm serta Persimpangan KIWА FT29/FT32 (30.5 mm).

Di Kuala Langat, kawasan RTB Bukit Changgang mencatatkan hujan 95 mm, manakala Kampung Sungai Ramal Dalam di Hulu Langat merekodkan 58.5 mm.

Susulan kejadian itu, JPS Selangor mengaktifkan operasi pam bagi mempercepatkan aliran air banjir keluar dari kawasan terjejas.

Di RTB Bukit Changgang, satu pam kekal beroperasi dengan sokongan dua pam bergerak, selain tiga lagi pam bergerak ditempatkan di RTB Bukit Changgang dan Jalan Pengkalan 1, Labuhan Dagang.

Sementara itu, di Sepang, satu pintu air, satu pam kekal dan dua pam bergerak di Kampung Sri Tanjung berada dalam mod operasi aktif.

Dua lagi pam bergerak turut diaktifkan di Persimpangan KIWА FT29/FT32 bagi membantu mengalirkan air banjir.

JPS Selangor memaklumkan pihaknya terus memantau keadaan serta mengambil langkah mengurangkan impak dan risiko banjir di kawasan terjejas.

Orang ramai yang memerlukan maklumat lanjut boleh menghubungi talian hotline JPS Selangor di 03-5544 7376.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.