SHAH ALAM, 24 NOV: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) akan menubuhkan tabung bantuan bencana sempena penganjuran Ehsan Family Fiesta bagi membantu mangsa banjir serta menghadapi kemungkinan bencana pada masa depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS, Datuk Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata inisiatif itu membolehkan pengunjung menyalurkan sumbangan sepanjang festival tiga hari bermula Jumaat (27 November) hingga Ahad (29 November) ini bagi membantu mangsa banjir di seluruh Selangor.
“Kita akan menubuhkan tabung bantuan bencana bagi membantu mereka yang terjejas akibat banjir sebelum ini di Selangor, selain membuat persediaan menghadapi kemungkinan banjir atau bencana lain pada masa depan,” katanya pada sidang media di Wisma PKPS, hari ini.
Mohamad Khairil berkata PKPS turut menyediakan peruntukan lebih RM20,000 dalam bentuk sumbangan tunai dan bakul makanan yang dijangka memanfaatkan antara 300 hingga 400 keluarga terjejas.
Menurutnya, PKPS kini menyelaraskan bantuan di Kuala Selangor yang dikenal pasti sebagai kawasan paling teruk terjejas, selain beberapa kawasan lain di negeri ini.
Beliau berkata PKPS turut menyediakan talian khas bagi membolehkan mangsa banjir memohon bantuan menerusi panggilan telefon, mesej atau WhatsApp.
“PKPS akan menguruskan permohonan bantuan berdasarkan keperluan mangsa banjir dan kemampuan kami untuk memberikan sokongan.
“Bagaimanapun, jika permohonan itu melibatkan pihak lain seperti unit pengurusan bencana, kita akan merujuk perkara berkenaan kepada unit tersebut,” katanya.
Bantuan banjir itu akan diagihkan pada program Malam Alunan Kasih, Jumaat ini serta majlis perasmian rasmi fiesta pada Ahad.
Ehsan Family Fiesta akan berlangsung di kawasan parkir Wisma PKPS, Seksyen 14, Shah Alam dengan kemasukan percuma kepada orang ramai.








