KUALA LUMPUR, 3 NOV: Selangor dan Pahang menjalin kerjasama dalam sektor pertanian bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap jagung bijirin import sehingga 10 peratus.
Dato' Menteri Besar, Dato' Seri Amirudin Shari berkata kerjasama itu akan dimulakan dengan penanaman jagung bijirin di kawasan seluas kira-kira 400 hektar, menggunakan tanah yang luas di Pahang serta kepakaran pertanian Selangor.
Menurutnya, Malaysia ketika ini membelanjakan sekurang-kurangnya RM6 bilion setahun untuk mengimport jagung bijirin yang banyak digunakan sebagai makanan ternakan.

“Jika projek seluas 400 hektar ini berjaya dan kedua-dua pihak berpuas hati dengan model perniagaan yang dibangunkan antara Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP), kita boleh memperluas kawasan tanaman kepada 2,000 hingga 3,000 ekar.
“Malaysia membelanjakan tidak kurang RM6 bilion setahun untuk mengimport jagung bijirin. Jadi, pengeluaran tempatan penting bagi mengurangkan kebergantungan kepada bekalan luar negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara PKPS dan PKPP di Hotel Shangri-La Kuala Lumpur, hari ini.
Amirudin berkata kerjasama itu merangkumi empat bidang utama iaitu penanaman padi moden, jagung bijirin, Program Pertanian Komuniti Fertigasi Shahzan Makmur bagi golongan B40 serta pembangunan agropelancongan.
Daripada jumlah itu, kira-kira 200 hektar tanah akan diperuntukkan bagi pertanian komuniti, manakala 60 hektar lagi dikenal pasti untuk pembangunan agropelancongan.
Bagi agropelancongan, sebanyak 40 hektar dirancang di kawasan tanah tinggi dan 20 hektar di tanah rendah.
Menurutnya, projek penanaman jagung bijirin dan pertanian komuniti dijangka dapat dimulakan lebih awal, manakala tanaman padi serta agropelancongan memerlukan perancangan lanjut terutama dari segi kesesuaian tanah, pemilikan dan pengurusan.

“Kita tidak mahu menunggu terlalu lama. Dalam tempoh setahun, penanaman jagung bijirin sepatutnya sudah dapat dilaksanakan kerana benih, teknologi dan pengalaman sudah tersedia.
“Kita hanya perlu menyesuaikan kaedah serta memastikan pelaksanaannya berjalan lancar,” katanya.
Amirudin berkata PKPS dan PKPP kini sedang meneliti kaedah pengurusan paling sesuai, sama ada melalui jawatankuasa bersama atau penubuhan syarikat khas bagi mengendalikan projek berkenaan.
Beliau menjelaskan peningkatan pengeluaran jagung bijirin tempatan juga berpotensi membantu mengurangkan kos penternakan kerana bahan itu merupakan antara komponen utama makanan haiwan.
“Apabila pengeluaran jagung bijirin tempatan meningkat, kos pengeluaran ayam, daging lembu, kambing dan produk tenusu dapat dikurangkan.
“Pada masa sama, pertanian komuniti dan peluasan tanaman padi akan membantu meningkatkan bekalan makanan tempatan serta mengukuhkan jaminan makanan negara,” katanya.








