SHAH ALAM, 22 NOV: Penganjuran Royal Klang Marathon 2026 bukan sekadar menggalakkan gaya hidup sihat, malah menjadi platform mempromosikan keunikan Klang sebagai Bandar Diraja kepada pengunjung tempatan dan antarabangsa.
Pengarah Komunikasi Korporat Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Norfiza Mahfiz berkata acara yang berlangsung di GM Klang hari ini turut memperkenalkan tarikan pusat perniagaan, makanan dan produk tempatan.
Menurut beliau, pemilihan GM Klang sebagai lokasi penganjuran kali ini bertujuan memperkenalkan kawasan lain di bandar berkenaan selepas edisi terdahulu diadakan di sekitar Royal Klang Heritage Walk yang terkenal dengan bangunan bersejarah.
“Kita buat aktiviti maraton ini bukan untuk satu bangsa sahaja. Kita melibatkan antarabangsa juga. Ini untuk mempromosi gaya hidup sihat,” katanya ketika menjadi tetamu program Bicara Semasa terbitan Media Selangor baru-baru ini.
Norfiza berkata kerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) turut membuka peluang mempromosikan buah-buahan dan sayur-sayuran tempatan kepada pengunjung.
Jelasnya, kehadiran peserta dari dalam dan luar negara bukan sahaja memeriahkan acara larian, malah memberi peluang kepada mereka untuk mengenali pelbagai produk serta tarikan di Klang.

Pingat kitar semula jadi keunikan maraton
Selain mempromosikan Klang, penganjuran maraton itu turut menekankan aspek kelestarian menerusi penggunaan bahan kitar semula untuk menghasilkan pingat peserta.
Norfiza berkata penggunaan bahan kitar semula dalam penghasilan pingat bukan perkara baharu, sebaliknya menjadi antara pendekatan yang diamalkan penganjur setiap tahun.
Beliau turut memperkenalkan reka bentuk baju penamat yang berbeza mengikut kategori, iaitu warna hitam bagi peserta yang menamatkan larian 42 kilometer (km) dan hijau untuk kategori 21 km.

Warga emas aktif berlari, inspirasi generasi muda
Sementara itu, Norfiza berkata aktiviti larian bukan hanya mendapat sambutan golongan muda, malah turut menarik penyertaan warga emas yang komited mengekalkan kecergasan.
Beliau berkongsi pengalaman melihat warga emas berusia antara 79 hingga 85 tahun masih aktif berlari di Taman Rakyat Klang, termasuk melalui laluan berbukit.
Menurutnya, terdapat juga pelari berusia 50 tahun ke atas yang menjadikan Royal Klang Marathon sebagai motivasi untuk berlatih secara konsisten.
“Saya berjumpa dengan orang yang berumur 50 tahun ke atas. Mereka bukan sahaja daripada satu bangsa, ada Cina, Melayu dan India, semua berlari.
“Mereka berlari setiap pagi kerana menunggu Royal Klang Marathon. Ada yang masuk 21 kilometer (km) dan 42 km,” katanya.

Norfiza berkata semangat golongan berkenaan wajar dijadikan inspirasi kepada generasi muda untuk mengamalkan gaya hidup aktif.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa penyertaan dalam larian jarak jauh memerlukan persediaan fizikal, latihan serta disiplin yang mencukupi.
“Bukan semua orang boleh lari 42 km. Mereka menggunakan tenaga, masa dan mendisiplinkan diri untuk mencapai apa yang mereka mahu,” katanya.








