SHAH ALAM, 2 NOV: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) sentiasa memastikan produk makanan di bawah pengurusannya mematuhi keperluan halal, kebersihan dan kualiti sebelum dipasarkan menerusi rangkaian edarannya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS, Datuk Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata perhatian khusus turut diberikan kepada sumber bekalan, dokumentasi pembekal dan status pensijilan halal, khususnya bagi bekalan ayam.
“PKPS menyokong usaha pemantauan dan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa bagi memastikan aktiviti penyembelihan serta pengedaran ayam yang dibekalkan melalui rangkaiannya mematuhi peraturan dan keperluan yang ditetapkan, termasuk aspek pensijilan halal dan hukum syarak.
“PKPS akan terus bekerjasama dengan pihak berkaitan dalam memantau sumber dan proses pengedaran bekalan ayam bagi program-program anjurannya bagi memastikan aspek halal, kebersihan dan kualiti sentiasa terpelihara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohamad Khairil berkata PKPS turut menyokong usaha memperkukuh keterjaminan bekalan makanan serta memastikan pengurusan bekalan di bawah kendaliannya mengutamakan keyakinan pengguna.
Menurutnya, orang ramai boleh menyemak status pensijilan halal bagi bekalan ayam di bawah pengurusan PKPS melalui Direktori Halal Malaysia.
“Maklumat berkaitan status pensijilan halal adalah tertakluk kepada rekod dan skop pensijilan yang dipaparkan dalam direktori berkenaan,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan lebih 6.5 tan ayam mentah dirampas dalam serbuan Ops Taring Chiller di sebuah pusat penyembelihan dan pemprosesan ayam di Puchong, Jumaat lalu.
Ayam berkenaan disyaki diproses tanpa mematuhi kaedah penyembelihan mengikut hukum syarak dan keperluan pensijilan halal, dengan premis terbabit didapati menggunakan kaedah renjatan air berarus elektrik sebelum penyembelihan.
Seramai 12 lelaki warga Bangladesh dan Pakistan turut ditahan kerana dipercayai terbabit dalam aktiviti penyembelihan serta pemprosesan ayam di premis berkenaan.









