SHAH ALAM, 6 NOV: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) memperkukuh stok simpanan makanan serta memantau tujuh komoditi utama bagi memastikan bekalan makanan asas di negeri ini kekal stabil dan mencukupi.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS, Datuk Wira Dr. Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata langkah itu sebahagian daripada strategi kesiapsiagaan negeri dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik global yang berpotensi menjejaskan rantaian bekalan makanan.
Menurutnya, strategi mitigasi itu dilaksanakan menerusi Pelan Transformasi Agro Selangor (PeTA) dan Pelan Transformasi Agribisnis (SEED2030).

“Ini merangkumi pengukuhan stok penimbal menerusi Gudang Makanan Selangor (GMS), pengurusan rantaian logistik agromakanan yang cekap serta pemerkasaan hasil pertanian tempatan menerusi projek-projek berskala komersial di Selangor Fruit Valley,” katanya dalam kenyataan.
Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat, Selasa lalu, mengenai usaha kerajaan memperkukuh kesiapsiagaan negara menghadapi ketidaktentuan geopolitik global.
Selain itu, Mohamad Khairil berkata PKPS turut memantau inventori tujuh komoditi utama iaitu ayam, telur, daging, beras, ikan, buah-buahan dan sayur-sayuran secara konsisten di semua ladang serta pusat jualannya bagi menjamin kestabilan stok.
Beliau menambah, PKPS juga bersedia menyelaraskan tindakan bersama kementerian dan agensi keselamatan Persekutuan bagi menangani sebarang gangguan rantaian logistik global tanpa menjejaskan akses kepada bekalan makanan serta kestabilan harga.
Dalam usaha memastikan rakyat mendapat bekalan pada harga berpatutan, PKPS meneruskan Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Program itu beroperasi menggunakan enam lori setiap hari kecuali Jumaat dan cuti umum, selain jualan mingguan di outlet statik Ehsan Mart bagi memudahkan kumpulan sasar mendapatkan barangan makanan asas.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya mendapatkan maklumat sahih daripada saluran rasmi kerajaan dan tidak mudah terpengaruh dengan spekulasi tidak berasas berhubung krisis bekalan makanan.
Sebelum ini, Anwar memaklumkan kerajaan mengambil langkah proaktif memperkukuh kesiapsiagaan rentas agensi bagi menghadapi ketidaktentuan geopolitik dan gangguan rantaian bekalan dunia.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pula menegaskan negara tidak berada dalam situasi kecemasan dan stok makanan adalah memadai.









