SHAH ALAM, 24 NOV: Kerja mengepam keluar air banjir yang masih bertakung di Jalan Zuzuli dan Jalan Deraman, Kampung Bukit Hijau dipergiat bagi membolehkan penduduk kembali ke kediaman masing-masing.
Pegawai Daerah Kuala Selangor, Mohd Raiz Radzuan berkata KDEB Waste Management (KDEBWM) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor menggerakkan tiga lori tangki bagi membantu mengeluarkan air bertakung di kawasan berkenaan.
“Kita masih lagi memantau situasi terkini dan meminta KDEBWM menghantar tiga tanker untuk menyedut air termenung. Culvert di kampung ada yang tidak mengikut spesifikasi sepatutnya sehingga akibat tersumbat dan tidak lepas ke parit besar.
“Kami kini sedang usahakan Jalan Zuzuli dan Jalan Deraman, Kampung Bukit Hijau… yang mana jika selesai di dua jalan, maka lebih tiga perempat atau 1,000 lebih mangsa dibenarkan pulang jika air surut,” katanya kepada Media Selangor.
Terdahulu, beliau memaklumkan jumlah mangsa banjir di Kuala Selangor berkurang kepada 1,083 orang daripada 294 keluarga setakat tengah hari tadi, dengan enam pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi berbanding 13 sebelum ini.
Pada masa sama, Mohd Raiz menjelaskan pihaknya sedang menyelaras pasukan sukarelawan daripada Team Selangor dan Jabatan Belia dan Sukan Kuala Selangor bagi membantu proses pembersihan rumah mangsa.
“Kami telah meminta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di kampung-kampung terlibat untuk membantu mengemas.
“Pihak kami sedang mengatur dengan Team Selangor bawah Kerajaan Negeri dan Jabatan Belia dan Sukan Kuala Selangor untuk gerakkan dalam masa terdekat sukarelawan membersihkan rumah mangsa yang terkesan,” katanya.
Semalam, KDEBWM menggerakkan tiga aset dan jentera operasi bagi mempercepat penyurutan air banjir di Kampung Bukit Kuching.
Jentera terbabit terdiri daripada dua unit jetter bersaiz besar dan kecil serta sebuah vac-all bagi menyedut dan mengalirkan air ke sungai.
Manakala, JPS telah mengerah lima unit pam berkapasiti tinggi bagi mengepam keluar air banjir susulan air yang masih belum surut dan banjir termenung di Kampung Parit Mahang, Kampung Bukit Hijau dan Batu 7 Ijok.







