SHAH ALAM, 23 NOV: Jumlah mangsa banjir di Selangor menurun kepada 1,594 orang daripada 448 keluarga yang ditempatkan di 12 pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah, setakat jam 8.30 pagi ini.
Berdasarkan data portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kuala Selangor merekodkan jumlah tertinggi dengan 1,578 mangsa di 11 PPS, manakala 16 mangsa daripada empat keluarga berada di Kuala Langat.
Di Kuala Selangor, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Dato' Maharaja Lela menempatkan mangsa paling ramai iaitu 388 orang daripada 99 keluarga, diikuti SK Parit Mahang dengan 358 mangsa daripada 95 keluarga.
PPS SK Sultan Abdul Aziz pula merekodkan 219 mangsa, Dewan Orang Ramai Bukit Kuching Tengah (130), Sekolah Rendah Agama (SRA) Bukit Kuching (129) dan Sekolah Agama Batu 8 Ijok (120).

Selain itu, SRA Pasangan menempatkan 105 mangsa, KAFA Integrasi Hidayah Bukit Cherakah (59), Dewan Orang Ramai Seri Harmoni (33), SK Jaya Setia (33) dan SK Rantau Panjang (4).
Sementara itu, PPS Balai Raya Kampung Sungai Kelambu di Kuala Langat masih menempatkan 16 mangsa daripada empat keluarga.
Semalam, Media Selangor melaporkan seramai 1,866 mangsa daripada 526 keluarga ditempatkan di 13 PPS di tiga daerah setakat jam 11 pagi, dengan Kuala Selangor merekodkan jumlah tertinggi.
Jumlah itu kemudian menurun kepada 1,727 mangsa daripada 484 keluarga pada sebelah petang, berbanding 1,884 mangsa daripada 532 keluarga yang direkodkan pada sebelah pagi.






