400 keluarga terjejas banjir terima baucar RM500, ringan beban

24 Nov 2026, 3:07 AM
400 keluarga terjejas banjir terima baucar RM500, ringan beban

SHAH ALAM, 24 NOV: Kira-kira 400 keluarga terjejas banjir menerima baucar pembelian bernilai RM500 setiap keluarga bagi mendapatkan bekalan makanan dan barangan keperluan harian.

Bantuan keseluruhan bernilai RM200,000 itu hasil kerjasama Yayasan Sultan Selangor (YSS) dan Segi Fresh menerusi sumbangan RM100,000 daripada setiap pihak.

Sumbangan disampaikan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Parit Mahang, Kuala Selangor sempena keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah yang berkenan menyantuni mangsa banjir, baru-baru ini.

Inisiatif dengan kerjasama Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) Selangor dan pihak berkaitan itu memberi tumpuan kepada keperluan harian keluarga dalam proses pemulihan pascabanjir.

Penerima boleh menggunakan baucar berkenaan untuk mendapatkan barangan runcit, makanan segar, bahan masakan dan kelengkapan asas rumah di rangkaian pasar raya Segi Fresh.

Ketua Pegawai Eksekutif YSS, Muhammad Syazwan Mohd Daut berkata cabaran dihadapi keluarga terjejas berterusan walaupun banjir sudah surut.

“Kami berharap kerjasama dengan Segi Fresh dapat meringankan beban mereka terutama dalam mendapatkan barangan keperluan harian,” katanya menerusi kenyataan.

Sementara itu, Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Segi Value Holdings Sdn Bhd Dato Chui Ah Hock berkata pihaknya bertanggungjawab membantu komuniti ketika berdepan kesukaran.

“Menerusi kerjasama dengan YSS, kami memanfaatkan rangkaian perniagaan dan sumber yang ada bagi membantu keluarga terjejas akibat banjir mendapatkan semula barangan keperluan harian.

“Kami berharap inisiatif ini menjadi contoh bagaimana sektor peruncitan dapat memberi sumbangan bermakna kepada komuniti,” katanya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.