KUALA SELANGOR, 23 NOV: KDEB Waste Management (KDEBWM) menggerakkan tiga aset dan jentera operasi bagi mempercepat penyurutan air banjir di Kampung Bukit Kuching.
Pengurus Besar Kanan Operasi KDEBWM, Mohd Idris Mohamed Yusof berkata jentera terbabit terdiri daripada dua unit jetter bersaiz besar dan kecil serta sebuah vac-all bagi menyedut dan mengalirkan air ke sungai.
Menurutnya, operasi di beberapa lokasi mula menunjukkan hasil apabila paras air bertakung semakin berkurang.
“Setakat ini, tiga jentera berkenaan sudah melakukan empat hingga lima trip untuk mengepam dan mengalirkan air ke sungai.
“Bagaimanapun, air kembali melimpah ke jalan disebabkan paras air di parit masih tinggi,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau ditemui ketika mengiringi Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau kawasan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Buloh di sini, hari ini.
Mohd Idris berkata lima lokasi dikenal pasti untuk operasi berkenaan, dengan tempoh kerja bergantung kepada jumlah air bertakung.
Katanya, KDEBWM turut bersedia menambah bantuan termasuk penggunaan pam sekiranya diperlukan.
Selain itu, KDEBWM akan menyediakan tong RORO bagi memudahkan pengumpulan dan pelupusan barangan rumah yang rosak akibat banjir apabila penduduk dibenarkan pulang.
“Apabila penduduk mula mengeluarkan barangan yang rosak dan meletakkannya di luar rumah, pihak kami akan mengutip serta membawanya ke tapak pelupusan sampah,” katanya.
Mengulas isu pembuangan sampah haram berhampiran kawasan berkenaan, Mohd Idris berkata KDEBWM bersedia membantu operasi pembersihan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS).
Menurutnya, kerja itu memerlukan beberapa jentera backhoe dan tong RORO bersaiz besar berikutan jumlah sampah yang banyak.
“Jika menggunakan jentera yang mencukupi, kerja pembersihan boleh diselesaikan dalam tempoh seminggu, namun ia bergantung kepada arahan serta kaedah yang dipersetujui bersama MPKS,” katanya.








