15 kompaun dikeluarkan MPHS atas pelbagai kesalahan di Bukit Beruntung

8 Nov 2026, 5:58 AM
15 kompaun dikeluarkan MPHS atas pelbagai kesalahan di Bukit Beruntung

SHAH ALAM, 8 NOV: Sebanyak 15 kompaun dikeluarkan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) terhadap pemilik premis atas pelbagai kesalahan di lorong belakang Jalan Jenjarum 1F, Bukit Beruntung, baru-baru ini.

Daripada jumlah itu, 10 kompaun dikeluarkan atas kesalahan meletakkan halangan di kawasan belakang premis, empat lagi kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen, manakala satu kompaun dikenakan di bawah Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah 2007.

Menurut MPHS menerusi hantaran di Facebook, tindakan itu diambil susulan pemeriksaan yang mendapati kawasan berkenaan kotor serta dipenuhi lambakan barangan kitar semula dan barangan perniagaan sehingga menghalang laluan.

MPHS menjalankan pemeriksaan susulan aduan berkaitan kebersihan, halangan laluan dan kegiatan perniagaan tanpa lesen di lorong belakang Jalan Jenjarum 1F, Bukit Beruntung pada 5 November 2026. Foto Facebook Majlis Perbandaran Hulu Selangor

Pihak berkuasa tempatan itu turut mengeluarkan satu Notis Pembersihan Lorong Belakang yang memberikan tempoh tiga hari kepada pihak terlibat untuk membersihkan kawasan berkenaan.

"MPHS menyeru semua pemilik premis dan peniaga agar sentiasa menjaga kebersihan kawasan perniagaan serta tidak meletakkan barangan sehingga menghalang laluan awam," menurut hantaran itu.

MPHS turut memaklumkan pemantauan susulan akan dijalankan bagi memastikan kerja pembersihan dilaksanakan dalam tempoh ditetapkan.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.