Banteras sampah haram: Operasi penguat kuasa diganggu, maklumat dibocorkan - EXCO

24 Nov 2026, 6:05 AM
Banteras sampah haram: Operasi penguat kuasa diganggu, maklumat dibocorkan - EXCO

SHAH ALAM, 24 NOV: Anggota penguat kuasa berdepan pelbagai gangguan ketika membanteras kegiatan pembuangan sampah haram di sekitar Kuala Selangor, termasuk diekori individu disyaki tonto, diancam dengan kenderaan serta dipantau ketika menjalankan pemeriksaan.

EXCO Kerajaan Tempatan, Dato’ Ng Suee Lim berkata gangguan turut melibatkan provokasi individu dipercayai menjaga kawasan yang dijadikan tapak pembuangan sampah haram, selain tindakan menyembunyikan atau memindahkan jentera bagi mengelak penguatkuasaan.

Menurutnya, terdapat juga pihak yang membocorkan maklumat operasi sehingga menyebabkan tindakan penguatkuasaan terpaksa ditangguhkan atau dibatalkan.

“Selain itu, batu penghadang yang dipasang pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menghalang kemasukan lori ke kawasan pembuangan sampah haram turut dialihkan, manakala sekatan laluan dibuka semula,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Ijok, Jefri Mejan berhubung operasi membanteras pembuangan sampah haram pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Suee Lim berkata, satu laporan polis telah dibuat setakat ini susulan kejadian kenderaan rondaan penguat kuasa dilanggar ketika berselisih dengan sebuah kenderaan lain.

Katanya, Kerajaan Negeri memandang serius ancaman terhadap anggota dan akan memperkukuh kerjasama antara PBT dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya bagi operasi yang berisiko kepada keselamatan petugas.

“Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi terhadap sebarang ugutan, provokasi atau gangguan yang boleh menjejaskan keselamatan anggota serta usaha membanteras kegiatan pembuangan sampah haram di Selangor,” katanya.

Semalam, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan Kerajaan Negeri sedang melaksanakan proses merampas tanah yang dijadikan tapak pembuangan sampah haram di Ijok bagi menangani masalah pencemaran dan risiko banjir berulang.

Beliau berkata, tindakan itu susulan pencerobohan berhampiran Ban 6 Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Buloh yang dipercayai dilakukan pihak tidak bertanggungjawab bagi membuka laluan untuk kegiatan pembuangan sampah haram di kawasan berkenaan.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.