Pemilik tanah diberi notis pulih tapak sampah haram kepada keadaan asal

10 Okt 2026, 12:00 AM
Pemilik tanah diberi notis pulih tapak sampah haram kepada keadaan asal
Pemilik tanah diberi notis pulih tapak sampah haram kepada keadaan asal
Pemilik tanah diberi notis pulih tapak sampah haram kepada keadaan asal
Pemilik tanah diberi notis pulih tapak sampah haram kepada keadaan asal

SHAH ALAM, 10 OKT: Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor (PDTKS) mengeluarkan notis kepada pemilik tanah di Rentak Perdana, Puncak Alam supaya memulihkan tapak pembuangan sampah haram itu kepada keadaan asal.

Unit Korporat, Pelancongan dan Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) memaklumkan notis 7A itu antara tindakan tegas bagi menangani kegiatan pembuangan sampah haram di lokasi tersebut.

“Tindakan susulan terhadap pemilik tanah adalah di bawah bidang kuasa PDTKS melalui pengeluaran Notis 7A bagi tujuan tindakan remedi tanah dan mengembalikan tanah kepada keadaan asal.

“Bagi menghalang kegiatan ini daripada berulang, MPKS turut mengorek parit bagi menutup laluan masuk ke lokasi berkenaan supaya lori dan jentera tidak dapat meneruskan kegiatan pembuangan sampah haram.

“Sebagai langkah tambahan, pita larangan membuang sampah turut dipasang di laluan masuk,” katanya kepada Media Selangor.

Dalam operasi penguatkuasaan pada 12 September lalu, MPKS menyita sebuah jentera pengorek dan mengeluarkan kompaun kepada pemiliknya.

MPKS memaklumkan pemantauan dan penguatkuasaan berterusan dijalankan bagi mengenal pasti serta mengambil tindakan terhadap pihak yang terbabit dalam kegiatan pembuangan sampah haram.

Pada masa sama, MPKS bekerjasama dengan PDTKS bagi mendapatkan maklumat pemilik tanah untuk membolehkan tindakan lanjut diambil mengikut peruntukan undang-undang.

Jabatan Penguatkuasa MPKS akan meneruskan pemantauan berkala di lokasi itu bagi memastikan kegiatan pembuangan sampah haram tidak berulang.

MPKS turut memberi jaminan akan terus bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi membanteras kegiatan itu demi memelihara kebersihan, keselamatan dan kesejahteraan penduduk setempat.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.