SHAH ALAM, 17 OKT: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) sudah memulakan kerja pembersihan di parit besar di Bandar Sultan Suleiman secara berperingkat sejak 8 Oktober lalu.
Menerusi kenyataan di Facebook, MBDK memaklumkan kerja pembersihan sebelum ini dilakukan secara manual oleh kontraktor yang dilantik sebagai sebahagian daripada operasi penyelenggaraan parit besar di kawasan berkenaan.
MBDK turut memaklumkan bahawa Jabatan Perkhidmatan Persekitaran sudah mengarahkan kontraktor membuka pagar di kawasan itu buat sementara waktu bagi membolehkan jentera dan mesin pembersihan memasuki kawasan parit.
Langkah itu bertujuan mempercepat kerja pembersihan secara menyeluruh bagi menangani masalah yang dibangkitkan orang awam.
MBDK menjelaskan, kerja pembersihan parit besar dilaksanakan empat kali setahun mengikut jadual pusingan, iaitu Jun hingga Ogos, September hingga Oktober, November hingga Disember serta Januari hingga Februari 2027.
Ketika ini, kerja pembersihan berada dalam pusingan kedua yang berlangsung dari September hingga Oktober.
Isu parit yang dipenuhi sampah itu mendapat perhatian apabila tular di media sosial sejak beberapa hari lalu, mendorong Dato’ Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari meminta tindakan segera diambil.
Dalam pada itu, MBDK menghargai keprihatinan masyarakat yang menyalurkan aduan dan komited untuk terus meningkatkan mutu perkhidmatan perbandaran demi kesejahteraan penduduk.
Orang ramai turut diingatkan supaya tidak membuang sampah merata-rata atau ke dalam longkang bagi mengelakkan masalah sistem perparitan berulang.







