ad

Pemain industri aeroangkasa Selangor disaran satukan operasi di taman aero negeri

13 Okt 2025, 2:00 AM
Pemain industri aeroangkasa Selangor disaran satukan operasi di taman aero negeri

KUALA LUMPUR, 13 OKT: Pemain industri aeroangkasa di Selangor disaran mempertimbang untuk memindahkan dan menyatukan operasi mereka ke Taman Aeroangkasa Selangor (SAP) bagi mewujudkan ekosistem lengkap, kata EXCO Hal Ehwal Islam dan Inovasi, Dr Fahmi Ngah.

Beliau berkata langkah itu bukan sahaja dapat menyelaras operasi, malah membantu Selangor mencapai matlamat menjadi hab penerbangan serantau.

“SAP ialah projek yang akan membentuk ekosistem sokongan lengkap bagi pembuatan aeroangkasa daripada komponen kecil seperti skru hingga bahagian besar seperti sayap pesawat.

“Semuanya akan dibangunkan dengan sokongan pelbagai industri kerana aeroangkasa tidak boleh dibina secara berasingan. Ia perlu diuji, diperakui dan dipasang. SAP diwujudkan untuk membina ekosistem itu,” katanya ketika ditemui pada pelancaran Taman Perindustrian Berdaya Internet Benda (IoT) di sini pada 9 Oktober lalu.

Pelancaran itu diadakan di bawah Ekspo Pelaburan dan Taman Perindustrian Selangor (SPARK) 2025, sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2025 dari 8 hingga 11 Oktober.

Dr Fahmi berkata SAP kini mempunyai penyewa utama iaitu GE Aerospace, dan beliau berharap lebih banyak syarikat menyertai taman berkenaan.

“Jika kita dapat menyatukan operasi, terutama di kawasan berhampiran KLIA, ia akan memudahkan ujian penerbangan, penghantaran komponen dan pemasangan. Ini akan mewujudkan asas kukuh bagi merangsang inovasi dalam industri aeroangkasa awam,” katanya.

Beliau berkata industri kini masih berpecah walaupun 65 peratus ekosistem aeroangkasa Malaysia berada di Selangor.

Dr Fahmi turut menyentuh potensi Asean membangunkan program pesawat awam sendiri, seperti model kerjasama Airbus di Eropah.

“Contohnya, Airbus mempunyai sayap yang dibuat di England, badan pesawat di Jerman, ekor di Sepanyol dan pemasangan akhir di Perancis. Jika Asean ingin melaksanakannya, ia memerlukan pembiayaan serta persetujuan negara anggota,” jelasnya.

Beliau menambah bahawa subsidi kerajaan memainkan peranan penting dalam kejayaan Airbus bersaing dengan Boeing, dan Asean memerlukan komitmen politik yang sama untuk menjayakan projek seperti itu.

Bagaimanapun, katanya, Malaysia dan Selangor perlu terlebih dahulu membina keupayaan dalam reka bentuk dan pembuatan komponen.

“Kita tidak perlu hanya melihat kepada Airbus atau Boeing. Kita juga boleh membuka peluang dengan syarikat China dan Rusia. Jika kita boleh buat komponen untuk Airbus, kenapa tidak untuk Comac atau Sukhoi? Peluang itu ada,” katanya.