SHAH ALAM, 12 JUN: Pemain industri aeroangkasa tempatan perlu merebut peluang menyertai ekspo antarabangsa bagi meluaskan kerjasama serta menambah kepakaran dalam teknologi baharu.
Pegawai Kewangan Negeri Dato’ Dr Haniff Zainal Abidin berkata kemudahan Taman Aero Selangor (SAP) yang dirasmikan 5 Jun lalu wajar dimanfaatkan selain peluang pelaburan menerusi Invest Selangor.
“Saya tengok semua syarikat perlu ambil peluang kerana Selangor mempunyai kawasan yang spesifik untuk industri aeroangkasa. Kita ada kemudahan dan kita ada Invest Selangor untuk promosi mereka di luar negara.
“Syarikat Malaysia sepatutnya meluaskan rangkaian di luar negara, buat usahasama supaya kita dapat teknologi baharu. Kita mahu Malaysia pada masa hadapan ada kepakaran dalam industri aeroangkasa,” katanya.
[caption id="attachment_704415" align="aligncenter" width="812"] Menteri Pengangkutan Antony Loke Siew Fook bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melawat tapak Selangor Aero Park pada Majlis Pelancaran Selangor Aero Park @KLIA Aeropolis di Selangor Aero Park, Sepang pada 5 Jun 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
Beliau berkata demikian ketika menyertai misi pelaburan ke Shanghai yang diketuai EXCO Pelaburan Ng Sze Han bersama Invest Selangor dan Perbadanan Industri Aeroangkasa Negara Malaysia (Naico Malaysia) di AirExpo Shanghai, Pavilion Malaysia, baru-baru ini.
Untuk rekod, Malaysia mempunyai sebanyak 160 syarikat aeroangkasa yang memacu pembangunan inovasi dan transformasi industri aeroangkasa negara.
Dalam pada itu, Haniff menyifatkan AirExpo Shanghai sebagai antara pameran aeroangkasa terbaik antarabangsa yang membariskan pemain industri terkemuka dengan teknologi tinggi.
Menurutnya, peluang keemasan itu seharusnya direbut sekali gus membawa pelaburan bernilai tinggi ke Selangor, dengan sokongan pentadbiran negeri.
“Setakat ini ada syarikat luar yang sudah menunjukkan minat mahu melabur di Selangor dan ini merupakan peluang kita. Saya percaya ekspo-ekspo seperti ini kita perlu terlibat supaya kita dapat meluaskan jaringan,” katanya.
SAP yang terletak di Sepang, menjadi tumpuan utama dalam strategi pembangunan aeroangkasa Selangor, bawah pelan induk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Mencakupi 600 ekar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM2.3 bilion, taman itu bertujuan menarik pemain industri global terkemuka membabitkan rantaian nilai aeroangkasa.
SAP yang juga merupakan sebahagian daripada Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030, SAP dijangka memacu sasaran nasional tahunan RM55.2 bilion dan mewujudkan lebih 32,000 pekerjaan menjelang 2030.
Ends.