Selangor tawar ekosistem aeroangkasa lengkap, destinasi pelaburan terbaik - MB

26 Jun 2026, 4:52 AM
Selangor tawar ekosistem aeroangkasa lengkap, destinasi pelaburan terbaik - MB
Selangor tawar ekosistem aeroangkasa lengkap, destinasi pelaburan terbaik - MB
Selangor tawar ekosistem aeroangkasa lengkap, destinasi pelaburan terbaik - MB

SERDANG, 26 JUN: Selangor menawarkan ekosistem aeroangkasa yang lengkap dan berdaya tahan sekali gus menjadikannya destinasi terbaik bagi syarikat global mengembangkan operasi mereka di rantau ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ketika hab aeroangkasa tradisional dunia berdepan cabaran geopolitik, gangguan rantaian bekalan serta kekangan kapasiti, Selangor muncul sebagai pangkalan rantaian bekalan yang stabil untuk industri itu sehingga 2030 dan seterusnya.

Jelas beliau, Kerajaan Negeri bukan sekadar mahu menjadi hab aeroangkasa tradisional tetapi berperanan sebagai jaminan rantaian bekalan yang mampu menyokong pertumbuhan industri secara mampan.

"Sebagai pengeluar peralatan asal atau OEM pastinya anda memahami risiko bergantung kepada satu lokasi sahaja. Selangor menawarkan kestabilan serta daya tahan yang dibina sejak hampir sedekad lalu.

"Selangor mempunyai hubungan kukuh dengan syarikat di Amerika Syarikat, China dan Eropah, selain terus mempromosikan Selangor menerusi acara antarabangsa seperti Paris Air Show dan Farnborough Air Show," katanya.

EXCO Pelaburan Ng Sze Han berucap merasmikan Forum Aeroangkasa Selangor di Maeps, Serdang pada 26 Jun 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Teks ucapan Amirudin dibacakan EXCO Pelaburan Ng Sze Han pada Forum Aeroangkasa Selangor (SAF) 2026 sempena Sidang Kemuncak MyAERO 2026 di MAEPS di sini, hari ini.

Amirudin berkata pembangunan Selangor Aero Park (SAP) yang dilancarkan tahun lalu turut memperkukuh kedudukan negeri sebagai hab aeroangkasa menerusi penyediaan ruang berskala besar kepada syarikat Tier-1 dan Tier-2 untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran bagi memenuhi permintaan global.

Beliau berkata, pelaksanaan Pelan Penjanaan Semula Lapangan Terbang Subang (SARP) oleh kerajaan Persekutuan turut membuka peluang kepada syarikat penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), khususnya melibatkan jet perniagaan.

“Lokasi strategik Subang membolehkan syarikat menawarkan tempoh penyelenggaraan lebih pantas, sekali gus meningkatkan nilai kepada pelanggan sektor penerbangan perniagaan.

“Lebih dua pertiga industri aeroangkasa negara kini berpangkalan di Selangor, sekali gus membuktikan negeri ini memiliki ekosistem paling kukuh untuk pelaburan jangka panjang,” katanya.

EXCO Pelaburan Ng Sze Han dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad Dato' Hasan Azhari Idris melawat reruai selepas merasmikan Forum Aeroangkasa Selangor di Maeps, Serdang pada 26 Jun 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Selain itu, beliau berkata, dasar Speed Selangor turut menjadi pemangkin penting dalam meningkatkan daya saing negeri bagi menarik pelaburan industri aeroangkasa berimpak tinggi.

“Melalui Invest Selangor, Selangor menghapuskan halangan birokrasi yang boleh melambatkan kemajuan industri. Jika anda membawa teknologi, modal dan rangkaian global ke Selangor, kami akan memastikan pembinaan fasiliti, penyediaan tenaga kerja dan integrasi operasi dapat dilaksanakan dengan lancar," katanya.

Sebelum ini, Amirudin berkata Selangor berpotensi muncul sebagai hab aeroangkasa utama di Asia Tenggara dengan lebih 67 peratus pemain industri sektor itu kini berpusat di negeri berkenaan.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.