SHAH ALAM, 22 JUN: Kerajaan Negeri menawarkan lima insentif untuk merancakkan projek Taman Aero Selangor (SAP) di Wilayah Pembangunan Bersepadu di Selangor Selatan (IDRISS).
EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata insentif tersebut ialah potongan cukai taksiran hingga 50 peratus di tanah kosong dan bangunan kosong selama dua tahun.
Jelas beliau, pemaju juga boleh membuat bayaran premium tanah secara ansuran atau penuh mengikut syarat tertentu bagi meringankan beban aliran tunai sebelum proses pindah milik atau pengeluaran CCC (Sijil Penyiapan dan Pematuhan).
“Tawaran lain ialah bayaran ansuran caj pemajuan tanpa faedah bertujuan untuk menyokong kelangsungan kewangan projek. Pemaju juga layak mendapat pengecualian bayaran lesen perniagaan bagi tempoh lima tahun memandangkan SAP dibangunkan dalam wilayah IDDRIS,” katanya kepada Media Selangor.
Sze Han menambah pemberian insentif itu akan merancak pembangunan SAP sekali gus mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai hab industri aeroangkasa di rantau ini.
“Negeri juga mahu menggalakkan pembangunan sektor logistik dan industri teknologi tinggi di kawasan Taman Aero. Ia bertepatan dengan usaha Selangor untuk menjadi pemain utama industri aeroangkasa di rantau ini,” katanya lagi.
Tahun lalu, Kerajaan Negeri melancarkan IDDRIS sebagai projek pembangunan berasaskan wilayah yang merupakan salah satu agenda dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1).
IDDRIS membawa pembangunan daerah Sepang dan Kuala Langat di bawah teras ekonomi merangkumi tanah seluas 40,000 ekar dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM1 trilion.
IDRISS dijana menerusi pembangunan pelaburan swasta secara bersepadu dilengkapi kemudahan serta disokong insentif daripada Kerajaan Negeri dan persekutuan.