SHAH ALAM, 13 OGOS: Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) mengesahkan kedudukan Ahli Dewan Negeri (ADN) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari kekal sebagai wakil rakyat selepas semakan menyeluruh mendapati tiada perkara yang menjejaskan statusnya.
Lau Weng San berkata pihaknya sebelum ini menerima makluman mengenai kemungkinan seorang ADN kehilangan kedudukan susulan perkembangan membabitkan keahlian politik.
“Saya menerima makluman bahawa terdapat isu ADN yang mungkin boleh kehilangan jawatan mereka. Saya telah membuat semakan, setakat pagi Isnin lepas, tidak ada isu sedemikian.
“Jadi tidak perlu saya buat apa-apa pengumuman terhadap mana-mana ADN. Semakan dibuat secara menyeluruh menyentuh semua sudut, libatkan semua ADN,” katanya pada sidang media di Bangunan Annex, di sini hari ini.
Penjelasan itu dibuat susulan laporan mengenai status Abdul Rashid yang sebelum ini berdepan Perintah Kebankrapan, selain perkembangan membabitkan keahlian politik beliau.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi dilaporkan membatalkan Perintah Kebankrapan terhadap Abdul Rashid selepas membenarkan permohonannya di bawah Seksyen 105 Akta Insolvensi 1967.
Berdasarkan dokumen perintah mahkamah bertarikh 7 Ogos 2026, Perintah Kebankrapan yang dikenakan terhadap Abdul Rashid pada 1 April 2026 dibatalkan, manakala kos permohonan ditanggung oleh penghutang penghakiman.
Perkembangan berkenaan sebelum ini menimbulkan persoalan sama ada status kebankrapan itu boleh menjejaskan kedudukan Abdul Rashid sebagai ADN Selat Klang.







