SHAH ALAM, 24 OGOS: Ralat teknikal dalam sistem e-Sidang dikenal pasti menjadi punca jawapan bertulis Universiti Selangor (UNISEL) kepada pertanyaan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Ramal tidak dapat dipaparkan sepenuhnya.
Speaker Dewan Negeri Selangor, Lau Weng San berkata semakan bersama Pejabat Dewan dan Setiausaha Dewan Negeri mendapati pertanyaan dikemukakan Shafie Ngah sebenarnya telah dijawab dan dimuat naik menerusi sistem berkenaan.
“Namun begitu, terdapat satu ralat teknikal dalam sistem e-Sidang yang menyebabkan jawapan yang dibekalkan tidak dapat dipaparkan dengan betul sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Beliau berkata Pejabat Dewan menerusi Setiausaha Dewan turut memberikan penjelasan kepada ADN Sungai Ramal berhubung perkara berkenaan petang tadi.
Susulan penjelasan itu, Weng San menasihati Shafie supaya menarik balik hantaran media sosial yang dibuat berhubung jawapan berkenaan kerana dikhuatiri menimbulkan salah faham terhadap pengurusan Dewan Negeri.
Beliau turut menyarankan supaya jawapan penuh yang diterima daripada UNISEL dikongsikan kepada orang ramai bagi membolehkan pengikut dan pembaca mendapatkan gambaran sebenar mengenai perkara tersebut.
Menurut Weng San, mana-mana ADN yang tidak menerima atau tidak berpuas hati dengan jawapan kepada pertanyaan bertulis mahupun lisan mempunyai saluran rasmi untuk mendapatkan penjelasan lanjut.
Katanya, ADN boleh terlebih dahulu menghubungi Pejabat Dewan bagi mengesahkan jawapan diterima sebelum mengemukakan aduan secara bertulis kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan sekiranya masih tidak berpuas hati.
“Sekiranya jawapan yang diterimanya memang sedemikian dan beliau masih tidak puas hati, beliau boleh mengemukakan aduannya secara bertulis kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan untuk siasatan selanjutnya,” katanya.
Weng San menjelaskan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negeri Selangor aktif menjalankan peranannya termasuk mengadakan beberapa mesyuarat sebelum persidangan lalu bagi menangani isu pertanyaan ADN yang masih belum mendapat jawapan.







