71,152 calon SPM Selangor terima makanan percuma lima hari

23 Nov 2026, 4:16 AM
71,152 calon SPM Selangor terima makanan percuma lima hari
71,152 calon SPM Selangor terima makanan percuma lima hari
71,152 calon SPM Selangor terima makanan percuma lima hari
71,152 calon SPM Selangor terima makanan percuma lima hari

SHAH ALAM, 23 NOV: Seramai 71,152 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di 256 sekolah seluruh Selangor menerima set makanan tengah hari bernutrisi bernilai RM8 seorang bagi lima hari peperiksaan mata pelajaran teras menerusi Program Nutrisi Selangor (NutriSEL) SPM 2026.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif membabitkan peruntukan RM3 juta itu dilaksanakan dengan kerjasama Kerajaan Negeri dan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI bagi memastikan keperluan pemakanan calon sepanjang peperiksaan diberi perhatian.

“Kita tumpukan untuk lima hari sahaja, iaitu hari-hari untuk mata pelajaran teras kerana mata pelajaran pilihan itu ada berbeza.

"Jadi kita tumpukan untuk mata pelajaran teras. Alhamdulillah, semoga ia membawa manfaat kepada pelajar-pelajar,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Program NUTRISEL SPM di Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) Alam Impian di sini, hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada Majlis Penyerahan NUTRISEL SPM 2026 di Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) Alam Impian, Shah Alam pada 23 November 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Selain itu, seramai 2,442 calon SPM di 20 sekolah dan institusi termasuk sekolah berasrama penuh, sekolah agama serta institusi pendidikan khas menerima Bakul NUTRISEL.

Bakul berkenaan mengandungi vitamin C, roti, bijirin, susu, coklat serta barangan keperluan pelajar, menjadikan keseluruhan penerima inisiatif itu seramai 73,594 calon.

Program yang dilaksanakan mulai 23 hingga 30 November itu bertujuan menyokong keperluan pemakanan, meningkatkan tumpuan dan menjaga kesejahteraan calon sepanjang peperiksaan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan sumbangan kepada Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) Alam Impian sempena Majlis Penyerahan NUTRISEL SPM 2026 di Shah Alam pada 23 November 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Pada majlis sama, Amirudin turut menyampaikan sumbangan RM50,000 kepada MITS Alam Impian bagi membaik pulih musolla dan kemudahan sukan demi keselesaan warga sekolah.

Beliau turut mengucapkan selamat maju jaya kepada semua calon SPM 2026 dan berharap mereka memberikan tumpuan sepenuhnya serta memperoleh keputusan cemerlang.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.