NutriSEL 2027: 100,000 pelajar terima makanan percuma dua kali seminggu

13 Nov 2026, 2:09 PM
NutriSEL 2027: 100,000 pelajar terima makanan percuma dua kali seminggu
NutriSEL 2027: 100,000 pelajar terima makanan percuma dua kali seminggu

SHAH ALAM, 13 NOV: Kerajaan Negeri meneruskan Program Nutrisi Selangor (NutriSEL) pada tahun depan dengan sasaran memberi manfaat kepada 100,000 pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh negeri.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program berkenaan menawarkan sarapan atau makan tengah hari percuma kepada pelajar sebanyak dua kali seminggu sebagai usaha menangani masalah malnutrisi dalam kalangan murid.

“Lantaran sambutan sangat baik daripada murid dan ibu bapa, Kerajaan Negeri akan meneruskan NutriSEL yang menawarkan sarapan ataupun makan tengah hari percuma kepada 100,000 pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh Selangor sekerap dua kali seminggu bagi tahun 2027,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2027 di Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Beliau berkata program berkenaan dijangka bermula April tahun depan dengan anggaran kos RM24 juta menerusi peruntukan kolektif pihak berkuasa tempatan (PBT) dan anak syarikat kerajaan negeri.

Menurutnya, inisiatif itu bertujuan memastikan anak-anak di Selangor tidak terkesan dengan cabaran malnutrisi, sekali gus melahirkan generasi lebih sihat dan cergas.

Untuk rekod, NutriSEL mula dilaksanakan pada 3 Ogos lalu hingga 3 Disember ini, membabitkan lebih 100,000 pelajar daripada 962 sekolah di seluruh Selangor.

Program menerusi Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor itu menyediakan bantuan sarapan percuma kepada pelajar, khususnya daripada keluarga B40 berpendapatan di bawah RM2,000, dengan peruntukan keseluruhan RM14.4 juta.

Inisiatif berkenaan turut diperluas menerusi pelaksanaan Mega NutriSEL pada pertengahan Oktober lalu bagi memperkukuh usaha kerajaan negeri menyediakan sokongan pemakanan kepada golongan pelajar.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.