PETALING JAYA, 25 Nov: Memasuki tahun ke-26 penganjuran, Anugerah Komuniti Mampan Petaling Jaya terus mengukuhkan peranan penduduk sebagai rakan strategik dan pencetus inovasi dalam pembangunan bandar raya.
Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohd Yazid Sairi, berkata program yang bermula pada 2000 menerusi pelaksanaan Local Agenda 21 sebagai Pertandingan Kawasan Kejiranan Terbaik Petaling Jaya itu telah mengiktiraf lebih 50 komuniti dan mengetengahkan lebih 500 projek setakat ini.
“Sebuah bandar raya yang hebat bukan hanya dibangunkan melalui infrastruktur yang moden, tetapi dibentuk oleh masyarakat yang prihatin, bersatu dan berupaya menentukan masa depan komuniti mereka sendiri,” katanya sempena majlis penyampaian anugerah di Dewan Banquet, Ibu Pejabat MBPJ, pada Ahad lalu.
Tambahnya, aspirasi menjadikan Petaling Jaya sebuah bandar raya pintar, mampan, inklusif dan berdaya tahan menjelang 2030 memerlukan perkongsian tanggungjawab antara pihak berkuasa tempatan, komuniti, sektor swasta, institusi pendidikan serta pertubuhan masyarakat sivil.
Pada tahun ini, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memperuntukkan RM150,000 bagi menghargai kecemerlangan 22 komuniti yang merangkumi empat kategori utama serta satu pengiktirafan khas.
Perbadanan Pengurusan Pangsapuri Idaman muncul johan Kategori Perumahan Strata dan Persatuan Kebun Komuniti Penduduk PJS 2C/12 serta PJS 2C/16A hingga PJS 2C/16C mengungguli Kategori Perumahan Bertanah dengan masing-masing menerima wang tunai RM30,000.
Bagi Kategori Institusi Pendidikan Awam/Swasta, Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Yuk Chyun dinobatkan sebagai johan dengan hadiah RM10,000, sementara Tim Belia dan Keselamatan Masjid Kota Damansara meraih tempat pertama Kategori Belia dan Kanak-Kanak bernilai RM5,000.
Persatuan Penduduk Bayu Damansara pula menerima pengiktirafan khas Special Mention sebanyak RM5,000 atas pencapaian yang ditunjukkan.
Yazid berkata kejayaan program itu tidak seharusnya dinilai melalui bilangan anugerah atau projek semata-mata, sebaliknya menerusi perubahan yang dirasai dalam kehidupan harian masyarakat.
“Apabila sebuah kawasan kejiranan menjadi lebih bersih dan selamat, itu adalah kejayaan. Apabila kawasan terbiar diubah menjadi kebun komuniti atau ruang awam yang bermanfaat, itu adalah kejayaan,” katanya.
Tambah beliau, kejayaan paling bermakna turut terhasil apabila penduduk bekerjasama melaksanakan kitar semula, pengurusan sumber, keselamatan serta kebajikan sosial, selain kanak-kanak, belia, warga emas dan golongan rentan mendapat tempat dalam pembangunan komuniti.
Bagi menyokong usaha akar umbi, MBPJ turut menyediakan Geran Komuniti Petaling Jaya Mampan (PJ SEED) untuk membantu merealisasikan idea dan projek komuniti, sambil menggalakkan perkongsian amalan terbaik dalam tindakan iklim, inovasi sosial serta ekonomi kitaran.
Proses penilaian tahun ini dikendalikan oleh 10 panel juri profesional pelbagai kepakaran yang diketuai Presiden Pertubuhan Perancang Malaysia (MIP), TPr. Hjh. Mazrina Dato’ Abdul Khalid.









