Deklarasi Kanak-Kanak Selangor 2026 pacu agenda bandar mesra kanak-kanak

21 Nov 2026, 1:33 AM
Deklarasi Kanak-Kanak Selangor 2026 pacu agenda bandar mesra kanak-kanak
Deklarasi Kanak-Kanak Selangor 2026 pacu agenda bandar mesra kanak-kanak
Deklarasi Kanak-Kanak Selangor 2026 pacu agenda bandar mesra kanak-kanak

PETALING JAYA, 21 NOV: Deklarasi Kanak-Kanak Selangor 2026 yang menggariskan enam tuntutan utama bakal menjadi pemangkin kepada tindakan lebih menyeluruh dalam memastikan pembangunan bandar mengambil kira hak dan keperluan generasi muda.

Deklarasi yang diserahkan pada Persidangan Bandar Mesra Kanak-Kanak Petaling Jaya 2026 itu merangkumi hak terhadap keselamatan, rekreasi, persekitaran bersih dan sihat, tidak didiskriminasi, didengari serta dihormati.

Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dalam kenyataan memaklumkan, deklarasi berkenaan mencerminkan aspirasi 120 kanak-kanak dari seluruh Selangor yang mahukan persekitaran bandar lebih selamat, inklusif dan mesra kanak-kanak.

Menerusi penyertaan dalam Selangor Children's Assembly, mereka berpeluang berkongsi pengalaman, menyuarakan keperluan serta mengemukakan cadangan berkaitan pembangunan bandar yang memberi kesan langsung kepada kehidupan seharian.

Antara perkara yang diketengahkan termasuk penyediaan laluan selamat ke sekolah, ruang permainan yang selesa, kemudahan awam mudah diakses serta peluang untuk kanak-kanak terlibat dalam keputusan pembangunan yang mempengaruhi masa depan mereka.

Persidangan anjuran MBPJ dengan kerjasama UNICEF Malaysia dan Pertubuhan Perancang Malaysia (MIP) berlangsung selama dua hari bermula 19 November di Dewan Sivik MBPJ, bertemakan From Commitment to Action: Building Child Friendly Cities Together.

Program itu menghimpunkan pemimpin bandar, penggubal dasar, pakar perancangan, wakil pihak berkuasa tempatan (PBT) serta rakan strategik tempatan dan antarabangsa bagi membincangkan pembangunan bandar yang mengutamakan hak, keselamatan, perlindungan dan kesejahteraan kanak-kanak.

Majlis penutup disempurnakan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato' Johary Anuar, yang turut menyaksikan penyerahan deklarasi berkenaan.

Beliau menegaskan pandangan dan aspirasi kanak-kanak tidak seharusnya terhenti pada peringkat deklarasi, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada dasar, perancangan dan tindakan pembangunan yang memberikan manfaat sebenar.

Sehubungan itu, Kerajaan Negeri berhasrat mengangkat resolusi persidangan, termasuk Deklarasi Kanak-Kanak Selangor 2026 dan Pelan Tindakan PBT, kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk pertimbangan dan kelulusan cadangan penubuhan Jawatankuasa Pemandu Bandar Mesra Kanak-Kanak Negeri Selangor.

Untuk rekod, Petaling Jaya merupakan bandar pertama di Malaysia dan Asia Tenggara yang menerima pengiktirafan UNICEF menerusi inisiatif Child Friendly Cities Initiative (CFCI) pada 13 Oktober 2023.

Antara inisiatif yang dilaksanakan MBPJ termasuk penubuhan Majlis Kanak-Kanak Petaling Jaya (PJCC), perpustakaan permainan dan komuniti, perhentian bas mesra kanak-kanak serta penyediaan ruang awam inklusif.

Persidangan itu diharap menjadi titik permulaan kepada kerjasama lebih menyeluruh antara PBT dan agensi berkaitan bagi memastikan suara kanak-kanak diberikan tempat sewajarnya dalam perancangan pembangunan bandar, selaras dengan aspirasi Rancangan Selangor Kedua (RS-2) 2026–2030.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.