SHAH ALAM, 16 SEPT: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) merancang mewujudkan lima kawasan hijau di Damansara Damai menerusi Pelan Induk Landskap Taman Rakyat atau People's Park bagi menambah ruang rekreasi dan kemudahan komuniti.
Lima lokasi berkenaan ialah Taman Damai Setia, Taman Damai Utama, Taman Damai Belantara, Taman Damai Puncak dan Taman Damai Warisan, lapor The Star.
Pengarah Jabatan Landskapnya, Dr Badrulzaman Jaafar berkata setiap taman akan dibangunkan dengan fungsi dan identiti berbeza bagi memenuhi keperluan keluarga, golongan muda, kanak-kanak, warga emas serta orang kurang upaya (OKU).
"Taman Damai Setia atau Taman Bandar 1 merupakan taman pertama yang dibuka pada 25 Julai selepas kerja naik taraf disiapkan yang terletak bersebelahan Dewan Komuniti Damansara Damai," katanya.
Menurutnya, Taman Damai Belantara atau Taman Bandar 3 pula akan dibangunkan secara berperingkat mulai tahun depan, tertakluk kepada peruntukan MBPJ, proses tender dan reka bentuk taman.
Badrulzaman berkata pembangunan tiga lagi taman iaitu Taman Damai Utama, Taman Damai Puncak dan Taman Damai Warisan akan ditentukan berdasarkan keutamaan MBPJ, keadaan tapak, keperluan komuniti dan kemampuan kewangan.
"Lima taman di Damansara Damai ini meliputi keluasan keseluruhan 19.64 hektar dan tapak berkenaan memerlukan kerja naik taraf dari aspek kemudahan, penyelenggaraan, keselamatan, akses serta aktiviti.
"Damansara Damai merupakan kawasan berpenduduk padat dengan 15,579 unit kediaman sejak pembangunannya bermula sekitar 1998.
"Melalui pelan induk ini, MBPJ dapat membina rangkaian taman bandar yang berhampiran dengan kawasan kediaman," katanya.
Badrulzaman menambah kemungkinan konsep sama diperluaskan ke kawasan lain memerlukan kajian menyeluruh merangkumi kesesuaian tapak, keperluan komuniti, status tanah, keutamaan pembangunan dan kemampuan kewangan MBPJ.
"Walau bagaimanapun, MBPJ sentiasa menaik taraf taman awam di seluruh bandar raya ini dari semasa ke semasa," katanya.
MBPJ turut mengkaji potensi transformasi tebing Sungai Klang dan Sungai Penchala menerusi Pelan Induk Landskap Petaling Jaya (PiLAN.PJ).
Badrulzaman berkata, pelan berkenaan melihat sungai bukan hanya sebagai saliran, sebaliknya berpotensi berfungsi sebagai koridor ekologi, infrastruktur hijau dan aset landskap.
"Taman Medan dan Sri Manja menjadi antara kawasan tumpuan dengan cadangan menghubungkan zon rizab sungai kepada kawasan kediaman, komersial, Dataran Anak Muda serta kawasan rekreasi sedia ada.
"Kemudahan seperti laluan pejalan kaki, lorong basikal, zon rehat, sistem pencahayaan dan sistem penunjuk arah akan disediakan," katanya.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan anggaran kos serta tempoh pelaksanaan projek berkenaan kerana PiLAN.PJ merupakan dokumen perancangan strategik dan bukan reka bentuk terperinci atau kontrak pembinaan.









