MBDK pasang 9,000 lampu LED, perkasa bandar hijau Klang

24 Nov 2026, 7:00 AM
MBDK pasang 9,000 lampu LED, perkasa bandar hijau Klang
MBDK pasang 9,000 lampu LED, perkasa bandar hijau Klang

SHAH ALAM, 24 NOV: Sebanyak 9,000 daripada kira-kira 20,000 lampu jalan di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) kini menggunakan teknologi diod pemancar cahaya (LED) sebagai sebahagian usaha menjimatkan tenaga dan memperkukuh agenda bandar rendah karbon.

Datuk Bandar Klang, Dato' Abd Hamid Hussain berkata penggunaan teknologi itu bukan sahaja membantu mengurangkan penggunaan elektrik malah meningkatkan tahap pencahayaan di kawasan awam demi keselesaan dan keselamatan penduduk.

“Selain itu, kita menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup lebih lestari seperti berbasikal, mengusahakan kebun komuniti dan mengamalkan kitar semula bagi menyokong usaha menjadikan Klang sebuah bandar hijau.

“Kita juga sudah menyediakan dua bas elektrik (EV) untuk kegunaan di kawasan Klang dan merancang menambah jumlah bas berkenaan pada tahun depan sebagai sebahagian usaha memperluas penggunaan pengangkutan mesra alam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Bicara Semasa bertajuk Ulang Tahun Ketiga Bandaraya Diraja Klang terbitan Media Selangor, semalam.

Datuk Bandar Klang, Dato' Abd Hamid Hussain. Foto ADAM DARWISH/MEDIA SELANGOR

Abd Hamid berkata usaha berkenaan penting bagi memastikan pembangunan pesat Klang sebagai kawasan perindustrian utama berkembang seiring dengan pemeliharaan alam sekitar dan amalan pembangunan mampan.

Dalam pada itu, MBDK turut memperkukuh penggunaan teknologi menerusi pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi pembuangan sampah haram dan kawasan yang kerap berlaku kemalangan.

Sehingga Julai lalu, sebanyak 27,337 batang lampu jalan direkodkan di kawasan pentadbiran MBDK.

Daripada jumlah itu, sebanyak 1,965 lampu LED dan 337 lampu solar siap digantikan tahun ini bagi menyokong usaha meningkatkan kecekapan pencahayaan.

MBDK turut merancang pemasangan tambahan 1,313 lampu LED dan 108 lampu solar secara berperingkat bagi memperluas penggunaan teknologi pencahayaan cekap tenaga di kawasan pentadbirannya.

Rumah pam dan projek tebatan banjir di Taman Melawis, Klang pada 28 Oktober 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Dalam perkembangan berkaitan, MBDK menganggarkan belanjawan RM475 juta bagi kos pengurusan dan pembangunan pada 2027 berbanding jangkaan hasil RM415 juta, sekali gus mencatatkan unjuran defisit RM60 juta.

Daripada keseluruhan anggaran itu, lebih RM94 juta disediakan khusus bagi pembangunan infrastruktur termasuk pembaikan jalan raya, sistem perparitan, lampu jalan dan kolam takungan.

Abd Hamid berkata antara keutamaan MBDK termasuk menaik taraf sistem perparitan serta membina kolam takungan sementara (dry pond) di kawasan perumahan yang tidak mempunyai kemudahan berkenaan, khususnya pembangunan lama.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.