5,000 peserta dari 52 negara meriahkan Larian Bandaraya Diraja Klang

22 Nov 2026, 7:00 AM
5,000 peserta dari 52 negara meriahkan Larian Bandaraya Diraja Klang
5,000 peserta dari 52 negara meriahkan Larian Bandaraya Diraja Klang
5,000 peserta dari 52 negara meriahkan Larian Bandaraya Diraja Klang

KLANG, 22 NOV: Penyertaan 5,000 peserta dari 52 negara dalam Larian Bandaraya Diraja Klang membuka peluang merancakkan sektor pelancongan dan ekonomi setempat menerusi kehadiran pengunjung tempatan serta antarabangsa.

Datuk Bandar Klang Dato' Abd Hamid Hussain berkata kehadiran peserta luar negara turut memberi manfaat kepada peniaga tempatan, khususnya sektor perhotelan, makanan dan peruncitan.

“Kalau kita lihat peserta daripada luar negara, sudah tentu mereka akan menginap di hotel-hotel yang berada di sekitar ini, makan di kedai-kedai yang ada di sini dan seterusnya mengambil kesempatan untuk berjalan ataupun membeli-belah,” katanya selepas program Larian Bandaraya Diraja Klang di Dataran GM Klang di sini, hari ini.

Menurutnya, pengunjung luar juga berpeluang memperkenalkan perniagaan tempatan menerusi perkongsian di media sosial, sekali gus membantu menarik lebih ramai pelanggan pada masa akan datang.

Datuk Bandar Klang Dato’ Abd Hamid Hussain melepaskan peserta Larian Bandaraya Diraja Klang di Dataran GM Klang pada 22 November 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Beliau berkata penganjuran acara sukan berskala besar dengan penyertaan antarabangsa merupakan antara usaha MBDK menarik pelancong ke Klang bagi menyokong pertumbuhan ekonomi setempat.

“Jadi saya ucapkan tahniah kepada pihak GM yang telah menyediakan ruang dan juga menjadi penganjur kepada program ini serta penaja-penaja lain yang saya tidak dapat sebut satu persatu,” katanya.

GM Klang Wholesale City yang mula beroperasi pada 2009 di Bandar Botanik merupakan pusat pemborong yang menempatkan lebih 2,500 kedai dan perniagaan.

Kompleks itu menawarkan pelbagai produk termasuk pakaian, tekstil, barangan rumah, hiasan perkahwinan dan aksesori elektronik, selain menjadi tumpuan peniaga serta pengunjung tempatan dan luar negara untuk mendapatkan barangan secara borong.

Suasana sekitar Larian Bandaraya Diraja Klang yang berlangsung di Dataran GM Klang pada 22 November 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR

Dalam perkembangan sama, Abd Hamid berkata penganjuran acara berkenaan turut menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat dengan melakukan aktiviti fizikal sekurang-kurangnya sekali seminggu.

Beliau turut berharap lebih ramai masyarakat menyertai aktiviti seperti berlari dan berjalan pantas bagi mengekalkan kecergasan serta mengurangkan risiko menanggung kos rawatan kesihatan yang tinggi.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.